
Ini merupakan angka korban terbaru berikutan ketegangan dan keganasan di wilayah bergolak itu.
Papua, bekas koloni Belanda di bahagian barat pulau New Guinea, dimasukkan ke dalam Indonesia susulan satu referendum yang disokong oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada 1969. Referendum itu bagaimanapun mendapat kritikan meluas.
Gerakan pemisah di wilayah itu menyaksikan peningkatan keganasan dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Satu pasukan 25 anggota diserang hendap oleh kira-kira 70 “penjenayah bersenjata” yang membawa senjata gred tentera dan tradisional, kata tentera Indonesia dalam satu kenyataan.
“Pasukan itu membalas serangan sehingga mereka berjaya mengusir kumpulan penjenayah bersenjata tersebut ke dalam hutan. 3 anggota tentera terbunuh dalam serangan itu,” kata kenyataan tentera.
10 pemberontak dipercayai turut terbunuh, tetapi hanya satu mayat ditemui.
2 helikopter tentera yang dihantar untuk membawa keluar anggota tentera terbabit turut diserang, kata sumber tentera.
Baru-baru ini Indonesia menghantar beratus-ratus anggota tentera untuk membina satu lebuh raya utama menghubungkan bahagian paling terpencil wilayah kaya sumber itu, selepas 16 pekerja pembinaan dibunuh oleh kumpulan pemisah hujung tahun lepas.
Sejak itu, pertempuran antara kumpulan pemberontak dengan tentera Indonesia menyebabkan beratus-ratus penduduk kampung terpaksa meninggalkan Nduga, sebuah daerah di barat pulau New Guinea.
Presiden Joko Widodo, yang akan menghadapi pilihan raya April depan, berjanji untuk menyiapkan projek lebuh raya tersebut bagi menunaikan sebahagian janjinya membangunkan Papua, yang merupakan wilayah paling miskin di negara itu.