2 pemimpin PAS Pahang beri keterangan kepada SPRM

2 pemimpin PAS Pahang beri keterangan kepada SPRM

Mokhtar Senik dan Nasarudin Hassan dipanggil berhubung dakwaan penerimaan dana oleh PAS.

Mokhtar Senik dan Nasarudin Hassan.
KUANTAN:
Dua pemimpin PAS Pahang hadir di kompleks Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang hari ini dipercayai bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penerimaan dana oleh PAS bernilai RM90 juta daripada Umno.

Ketua Dewan Ulama PAS Negeri, Mokhtar Senik tiba di perkarangan kompleks pada 9.50 pagi dan disusuli oleh Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasarudin Hassan kira-kira 30 minit kemudian pada 10.25 pagi.

Kedua-dua mereka dilihat keluar dari pejabat itu kira-kira 2 jam setengah kemudian.

Mokhtar yang ditemui pemberita mengesahkan kehadirannya untuk membantu siasatan berhubung dakwaan penerimaan dana itu dan dakwaan memiliki kenderaan mewah.

“Saya telah memberi kerjasama kepada pegawai SPRM yang pihak SPRM telah merakamkan percakapan saya tetapi tiada apa-apa dokumen yang diminta.

“Saya juga telah menjawab segala soalan berkaitan pengisytiharan pemilikan kenderaan. Saya hanya memiliki sebuah sahaja kereta iaitu jenis Toyota Fortuner dan semua soalan yang berkaitan bagi membantu siasatan,” katanya.

Mokhtar berkata SPRM juga bertanyakan mengenai penerimaan dana seperti yang didakwa tetapi beliau tidak mempunyai sebarang maklumat berkaitan dakwaan berkenaan.

“Saya telah menjelaskan itu adalah satu fitnah dan hanya sekadar tohmahan terhadap PAS.

“Bagi saya pihak yang mengemukakan dakwaan itu, mereka seharusnya memberi bukti dan membuat dakwaan secara rasmi kerana jika hanya dakwaan di media untuk mencetus persepsi politk semata-mata, saya kira ini satu tindakan yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Setakat ini SPRM memanggil beberapa individu untuk memberi keterangan berhubung siasatan termasuk Ahli Parlimen Bachok, Nik Muhammad Abduh Nik Abdul Aziz; bekas timbalan presiden PAS, Nasharudin Mat Isa; dan Naib Presiden Amanah, Husam Musa.

Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown dalam artikelnya pada 6 Ogos 2016 mendakwa ada pemimpin tertinggi PAS mungkin menerima dana RM90 juta untuk mendorong parti itu bekerjasama dengan Umno dan Barisan Nasional.

Isu itu timbul semula selepas Presiden PAS, Abdul Hadi Awang membuat keputusan memuktamadkan penyelesaian luar mahkamah dengan menarik balik tuntutan terhadap Rewcastle Brown berhubung artikel berkenaan pada 1 Februari lepas.

Pada 24 Februari lepas, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Mohd Shukri Abdull dilaporkan berkata pihaknya setakat ini tidak mengesan sebarang transaksi dana RM90 juta dimasukkan ke dalam akaun bank PAS.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.