
Katanya, idea itu datang daripada usahawan muda tempatan, tetapi mereka yang mengkritik atau “troll” idea kereta terbang tidak memahami tujuan sebenar kerajaan.
“Katalah (ahli fizik) Albert Einstein datang dari Malaysia dan mungkin negara tak semaju hari ini sebab kita selalu mahu menidakkan idea-idea yang dibawa oleh usahawan muda tempatan yang mempunyai kepakaran dalam bidang tersebut.
“Kita kena fahami apa usahawan nak halakan dari segi aktiviti pembangunan,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia di kementeriannya, hari ini.
Pada 26 Februari lalu, Redzuan dilaporkan berkata, kereta terbang pertama Malaysia akan dipacu teknologi tempatan, dengan prototaipnya sudah ada dan dijangka diperkenalkan tahun ini.
Katanya, pembangunan kereta terbang itu bakal menarik pelaburan luar dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan, khususnya dalam bidang kejuruteraan.
Beliau kemudiannya berkata, pasaran utama kereta terbang itu ialah syarikat perkhidmatan pengangkutan atau pemain sektor pengangkutan lain dan pertanian.
Hari ini, Redzuan berkata, ada banyak industri yang boleh mendapat manfaat daripada penggunaan kereta terbang, termasuk perkhidmatan pengangkutan, kerja pengawasan, sektor keselamatan dan kecemasan.
Beliau memberi contoh penghantaran pegawai perubatan, bekalan ubat dan bantuan kemanusiaan ke kawasan bencana alam atau kecemasan.
“Katalah nak hantar barang makanan, tetapi tidak boleh menaiki kereta atau sampan sebab tempat banjir itu kawasan terpencil. Kita boleh gunakan teknologi tadi untuk hantar bantuan dan penyelamat.”
Beliau bagaimanapun tidak menyalahkan mereka yang tidak memahami tujuan kerajaan membina kereta terbang.
“…kita kena ajar mereka, beri latihan, pengetahuan. Media pula bertanggungjawab untuk mendidik.”