Mahkamah Persekutuan Thai bubar parti calon puteri raja sebagai perdana menteri

Mahkamah Persekutuan Thai bubar parti calon puteri raja sebagai perdana menteri

Panel 9 hakim sebulat suara memutuskan pembubaran Parti Thai Raksa Chart yang mencalonkan puteri Ubolratana Rajakanya sebagai calon perdana menteri.

Puteri Ubolratana Rajakanya Sirivadhana Barnavadi. (Gambar Facebook)
BANGKOK:
Mahkamah Perlembagaan Thailand hari ini memutuskan untuk membubarkan Parti Thai Raksa Chart yang mencalonkan seorang puteri raja sebagai calon perdana menteri pada pilihan raya umum 24 Mac.

Mahkamah juga memutuskan 14 orang anggota eksekutif parti tersebut dilarang untuk terlibat dalam politik selama 10 tahun.

Berikutan keputusan mahkamah hari ini, 282 calon parti tersebut hilang kelayakan dan tidak akan bertanding pada pilihan raya umum negara itu.

Panel 9 hakim memutuskan sebulat suara bagi pembubaran parti tersebut dan membuat keputusan 6-3 untuk mengenakan larangan selama 10 tahun ke atas 14 anggota eksekutuif daripada menyertai politik.

Mahkamah berkata, Parti Thai Raksa Chart telah mengheret kerabat Diraja untuk terlibat dalam politik dengan mencalonkan puteri Ubolratana Rajakanya Sirivadhana Barnavadi sebagai calon perdana menteri dan dengan itu memecahkan tradisi negara beraja itu.

Puteri berusia 67 tahun itu merupakan kakak kepada Raja Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn.

Tindakan mencalonkan puteri Ubolratana akan menggugat pemerintahan Raja berperlembagaan. Oleh itu, mahkamah memerintahkan parti tersebut dibubar.

Media tempatan melaporkan keputusan mahkamah itu tidak dapat dielakkan susulan titah Raja Vajiralongkorn bahawa “amat tidak sesuai” untuk kerabat Diraja terlibat dalam politik kerana mereka sepatutnya bersikap berkecuali” .

Terdahulu, beratus-ratus anggota polis dan keselamatan berada di kompleks mahkamah sementara pusat pemeriksaan dibuka di kawasan itu.

Penyokong parti yang menunggu di lobi Mahkamah Perlembagaan di sini menitiskan air mata selepas hakim membuat keputusan dalam kes itu.

Pemimpin Parti Thai Raksa Chart, Preechapol Pongpanich berkata, parti itu menghormati keputusan mahkamah.

“Kami amat berdukacita terhadap keputusan mahkamah.

“Pembubaran akan menjejaskan hak asas dan kebebasan calon parti dan rakyat Thailand untuk mengundi pada pilihan raya akan datang.

“Kami tidak mempunyai niat untuk memudaratkan sistem monarki berperlembagaan… Kami mahu yang terbaik untuk negara ini,” kata beliau kepada media yang menunggu di lobi Mahkamah Perlembagaan.

Pada 8 Feb, Parti Thai Raksa Chart, parti populis yang setia kepada bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra mencetuskan kegemparan di negara itu apabila mencalonkan puteri Ubolratana sebagai calonnya sebagai perdana menteri.

Puteri Ubolratana kemudian dilucutkan kelayakan sebagai calon oleh Suruhanjaya Pilihan Raya berikutan perintah Raja Maha Vajiralongkorn bahawa beliau tidak terlibat dalam politik kerana masih menjadi anggota kerabat Diraja.

Suruhanjaya Pilihan Raya kemudian memfailkan petisyen untuk membubarkan parti itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.