
Wan Saiful berkata ia signifikan dalam evolusi politik negara, kerana Malaysia dibina dalam kerangka pentadbiran yang dikongsi pelbagai kaum sejak era Tunku Abdul Rahman, tetapi langkah-langkah awal sedang diambil untuk mewujudkan gabungan mono-etnik.
Wan Saiful menyorot perhatian kepada kesediaan MCA dan MIC meneroka kemungkinan mewujudkan pakatan baru ketika Umno dan PAS beberapa lama berdua-duaan, dalam konteks kerajaan yang terdiri daripada gabungan parti pelbagai kaum.
“PH itu adalah pelbagai etnik, apabila MCA dan MIC mula keluar dari BN, dan apabila Umno dan PAS mula berasmara, maka kita sebenarnya sedang menyaksikan permulaan kepada satu trajektori di mana gabungan pelbagai kaum akan ditentang oleh gabungan mono-etnik dalam politik,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya kepada Institut Kajian Analisis Politik Malaysia (Mapan) di Universiti Utara Malaysia hari ini.
Berlatarkan situasi itu, Wan Saiful mengajak para pemikir supaya membincangkan isu perpaduan nasional “yang agak jarang dibicarakan”, kerana tumpuan lebih diberi kepada mengurus ekonomi dan mengurangkan kos sara hidup.
“Saya rasa sudah sampai masanya untuk kita berfikir secara serius juga mengenai apa model perpaduan nasional yang kita mahukan dalam era baru ini,” katanya.
Wan Saiful dalam huraiannya berkata kesamarataan parti-parti dalam Pakatan Harapan membezakan model gabungan itu dengan Barisan Nasional yang didominasi Umno.
Meskipun begitu, faktor pembeza itu tidak pernah menjadi sumber kekuatan PH, yang sekadar meraih sokongan sekitar 50% sahaja pada pilihan raya umum lepas.
“Kerajaan di Putrajaya telah berubah, tetapi Malaysia ini masih lagi kekal dengan ciri-ciri yang sama,” katanya.
Beliau juga berkata PH sejak kemenangan 9 Mei lepas hingga hari ini gagal membawa naratif yang kukuh mengenai konsep perkongsian kuasa, ketika Umno-PAS mengusahakan gabungan politik mono-etnik itu.
Beliau berkata PH mahu mengekalkan model perkongsian kuasa antara kaum, tetapi tidak wujud parti Melayu yang dominan seperti Umno dalam gabungan itu.
“Apa sebenarnya model PH yang boleh mengekalkan kestabilan negara berteraskan prinsip-prinsip asas yang telah termaktub dalam Perlembagaan? Saya rasa perkara ini tidak pernah diperdebatkan dengan sihat dan mendalam lagi,” katanya.
Wan Saiful berkata PH amat memerlukan “satu naratif yang jelas” mengenai hala tuju negara tetapi gabungan itu masih lagi belum temui ketegasan dalam memilih antara populisme, idealisme atau realiti.
“Akibatnya apabila berhadapan dengan keputusan-keputusan yang sukar, apa yang difikirkan ialah keputusan mana yang popular, bukan keputusan mana yang betul,” katanya.