Tampil kelainan…Rojak dalam talam tarikan terbaru

Tampil kelainan…Rojak dalam talam tarikan terbaru

Kecur air liur bila dengar rojak apatah lagi dimakan dalam talam sudah pasti kuantitinya banyak dan puas dimakan

‘Rojak talam’ mungkin kedengaran pelik tapi itulah kreativiti yang ditampilkan seorang peniaga di Kampung Nob Kulim, Kedah dalam menyajikan hidangan istimewanya.

Pasti sesiapa sahaja yang mendengarnya tak sabar ingin mencuba keenakan campuran hirisan buah-buahan dan sayur-sayuran yang dimakan dengan kuah yang ternyata bukanlah makanan asing dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Namun, menyajikannya di dalam talam dan dinikmati secara beramai-ramai bukan cara penyediaan yang sinonim dengan makanan itu.

Itulah idea Nor Hanisah Ghazali, 34, yang memberikan kelainan dalam menyediakan makanan itu untuk menarik pelanggan ke gerainya, Gerai ABC Sungai Kob.

Nor Hanisah berkata, rojak talam yang dihasilkannya mengandungi campuran lebih 10 jenis buah-buahan tempatan dan luar negara yang sekali gus menjadikan ia berwarna-warni dan memukau selera.

“Saya menggunakan buah seperti mangga muda dan ranum, jambu air, jambu batu, timun, sengkuang, kedondong, belimbing, betik, nanas, serta epal.

“Kesemua buah yang saya guna dalam hidangan rojak talam istimewa juga adalah segar, bagi memastikan pelanggan berpuas hati menikmatinya,” katanya menurut laporan Bernama.

Antara kelainan lain yang dilakukan Nor Hanisah adalah kuah rojak tidak digaul sekali dengan buah bagi mengelakkan kuah menjadi cair dan ia sekaligus membolehkan pelanggannya menikmati hidangan itu

dengan lebih santai dan boleh memilih buah-buahan atau sayur-sayuran yang hendak dimakan dengan lebih mudah.

Menurut Nor Hanisah, idea untuk menghasilkan rojak talam itu tercetus selepas terbaca sebuah artikel mengenai penggunaan talam dalam menghidangkan makanan mampu mengeratkan hubungan antara manusia.

Beliau seterusnya mencubanya dengan menyediakan rojak dalam talam yang akhirnya berjaya menarik pelanggan yang datang dari daerah ini dan serata Kedah.

Katanya, setiap hidangan rojak itu dijual pada harga RM12 yang disifatkannya amat berbaloi untuk dinikmati kerana pelanggan boleh menikmati pelbagai jenis buah-buahan dan sayur-sayuran dalam satu talam.

Gerai ABC Sungai Kob yang turut menyediakan air batu campur berasaskan buah, jus buah dan hidangan sampingan lain milik Nor Hanisah itu terletak di Jalan Kulim-Mahang, kira-kira 10 kilometer dari bandar Kulim dan dibuka mulai 10 pagi hingga 7 malam setiap hari kecuali Jumaat.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.