
Pengarah Eksekutif MEF, Shamsudin Bardan berkata ketika ini tidak ada badan kerajaan yang betul-betul memantau dengan terperinci nasib lebih 1 juta rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara.
“Ada yang bekerja di luar negara tetapi tidak diketahui jenis pekerjaannya. Sebab itu perlu satu agensi khusus memantau dan memastikan pekerja Malaysia bekerja bawah syarikat berdaftar,” katanya kepada FMT.
Shamsudin turut mempersoalkan mengapa undang-undang melindungi kebajikan pekerja tempatan seperti Akta Agensi Pekerjaan Swasta seolah-olah tidak dilaksanakan sepenuhnya.
“Kerajaan sibuk jaga kebajikan pekerja asing tetapi kebajikan pekerja tempatan seperti diabaikan,” katanya.
Presiden MTUC, Abdul Halim Mansor berkata, kes-kes rakyat Malaysia ditipu sindiket pekerjaan menunjukkan kelemahan pihak berkuasa.
“Jika mengikut prosedur yang ada dan tiada penyelewengan, rakyat tidak akan sampai ke negara seperti Liberia dan Kemboja,” katanya.
“Tenaga kerja yang mahu berkhidmat di luar negara mesti ditaja oleh syarikat berdaftar di Malaysia. Semua permohonan, dokumentasi, permit masuk dan permit keluar negara perlu disediakan selain tiket pergi dan insurans barulah kebenaran untuk bekerja dikeluarkan.”
Kata Halim, duta Malaysia di luar negara hendaklah memastikan pekerja Malaysia tiba dengan selamat dan didaftarkan.
Semalam, 8 rakyat Malaysia yang terkandas di Liberia selepas ditipu satu sindiket pekerjaan dibawa pulang ke tanah air melalui usaha diplomasi Wisma Putra.
Ini adalah kejadian ke-2 tahun ini membabitkan rakyat Malaysia yang mencari kerja di luar negara, selepas 47 warganegara dibebaskan dari sebuah penjara Kemboja kerana didapati menjadi mangsa sindiket penyeludupan manusia.