Polis tahan 2 suspek disyaki terbabit sindiket kerja Liberia

Polis tahan 2 suspek disyaki terbabit sindiket kerja Liberia

Dua suspek berusia 53 dan 60 tahun itu ditahan di Sibu, pagi tadi.

Menteri Luar, Saifuddin Abdullah (tengah, bertali leher biru) menyambut ketibaan 8 orang Sarawak yang ditipu sindiket pekerjaan di KLIA, semalam.
KUCHING:
Polis hari ini menahan 2 lelaki bagi membantu siasatan kes sindiket penipuan pekerjaan di Liberia.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sarawak, Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, suspek berusia 53 dan 60 tahun itu ditahan di Sibu antara 9.30 hingga 10 pagi tadi.

“Seorang lelaki Iban berusia 40 tahun dari Kapit membuat laporan polis berhubung kes itu pada 8.48 pagi ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berdasarkan siasatan awal, katanya, mangsa menerima mesej melalui aplikasi WeChat daripada seorang lelaki pada Disember lalu yang menawarkan kerja dalam industri pembalakan di Liberia.

Semua 8 mangsa dijanjikan gaji lumayan RM8,000 sebulan, penginapan, makan minum dan pengangkutan, dengan tiket penerbangan akan ditanggung syarikat terbabit.

“Mereka semua terbang ke Liberia pada 3 Januari lalu dan dibawa ke sebuah kampung di Mount Barclay.

“Bagaimanapun, selepas sebulan, mangsa mendapati kerja yang dijanjikan itu tidak wujud.”

Mustafa berkata, mangsa terpaksa menjual harta benda mereka seperti jam tangan dan telefon bimbit untuk meneruskan hidup.

Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Lapan mangsa itu terbang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Sibu semalam, dengan ditemani Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii dan disambut ahli DAP serta PKR dari Sibu dan Selangau.

Ini kejadian ke-2 membabitkan rakyat Malaysia terkandas di luar negara, susulan pembebasan 47 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan sindiket pekerjaan, dari sebuah penjara di Kemboja, pertengahan bulan lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.