Kritikan hanya persepsi, Arifin jawab pelantikan ke RCI Wang Kelian

Kritikan hanya persepsi, Arifin jawab pelantikan ke RCI Wang Kelian

Arifin Zakaria berkata keputusan-keputusannya sebelum ini adalah terjemahan undang-undang mengikut pemahamannya.

Arifin Zakaria.
PUTRAJAYA:
Bekas ketua hakim negara, Arifin Zakaria menepis kritikan terhadap pelantikannya sebagai pengerusi Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dalam isu pemerdagangan manusia dan kubur besar-besaran yang ditemui di Wang Kelian, Perlis 4 tahun lalu.

Arifin menangkis kritikan kumpulan hak asasi manusia terhadap rekodnya semasa berkhidmat sebagai seorang hakim, mengatakan ia hanyalah persepsi.

“Keputusan penghakiman itu anda dapat lihat sendiri. Saya terjemahkan undang-undang mengikut pemahaman saya,” katanya pada sidang media hari ini, bersama Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin.

“Jadi, kritikan pihak tertentu itu hanyalah persepsi masyarakat. Sepanjang yang saya tahu, saya mengangkat undang-undang mengikut kesedaran dan pemahaman yang jelas.”

Terdahulu, Lawyers for Liberty (LFL) mempersoalkan rekod Arifin membela hak asasi manusia selepas Putrajaya memutuskan Arifin akan mempengerusi RCI tersebut.

LFL mendakwa Arifin banyak membuat keputusan yang tidak berperlembagaan dan bertentangan dengan hak asasi manusia, seperti mengekalkan Akta Hasutan, mengekalkan pensabitan terhadap Anwar Ibrahim dalam kes liwat, dan menasihati Agong dalam pelantikan Md Raus Sharif sebagai ketua hakim negara dan Zulkifli Makinuddin sebagai presiden mahkamah rayuan.

Sementara itu, mengenai langkah seterusnya bagi suruhanjaya tersebut, Arifin mengumumkan dia bersama anggota RCI lain akan bermesyuarat esok bagi membincangkan tempoh masa siasatan.

“Saya perlu dapatkan pandangan ahli-ahli lain,” katanya.

Terdahulu, Muhyiddin secara rasmi mengumumkan Arifin akan mempengerusikan RCI Wang Kelian. Arifin akan mengetuai suruhanjaya yang disertai 7 anggota lain termasuk Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, Razali Ismail; bekas ketua polis negeri, Norian Mai; dan bekas timbalan pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara, Dr Tan Seng Giaw.

Antara skop RCI berkenaan adalah meneliti semua dokumen dan bukti berkaitan penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian.

Ia juga akan melihat tatacara pihak berkuasa semasa dan selepas penemuan, dengan menyoal para pegawai penyiasat, saksi dan individu-individu berkaitan lain.

RCI juga akan melihat sama ada syor-syor penambahbaikan terhadap tatacara dilaksanakan selepas kejadian itu.

Pada Mei 2015, negara dikejutkan dengan penemuan 139 kubur dan 28 kem pemerdagangan manusia yang ditinggalkan di puncak Bukit Wang Burma di Wang Kelian yang terletak di sempadan Malaysia-Thailand.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.