Dokumen tender BRT mahal demi pastikan pemohon serius, kata IRDA

Dokumen tender BRT mahal demi pastikan pemohon serius, kata IRDA

Ia selepas sebuah syarikat perunding mengkritik Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar mengenakan bayaran tidak munasabah dan tidak memulangkan bayaran itu kepada pembida gagal.

BRT direka untuk membolehkan pergerakan lebih baik di sekitar Johor Bahru menggunakan lorong khas untuk bas. (Gambar IRDA)
PETALING JAYA:
Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) mempertahankan keputusan mengenakan bayaran RM15,000 kepada pembida projek pengangkutannya di Johor Bahru bagi memastikan hanya pihak yang serius mengemukakan permohonan.

Ini susulan sebuah syarikat yang berminat dalam projek Bas Rapid Transit (BRT) mengkritik IRDA mengenakan bayaran tidak munasabah dan tidak memulangkan bayaran itu kepada pembida yang gagal.

Tetapi, IRDA berkata, harga itu termasuk kos kajian dan reka bentuk awal, keperluan teknikal bagi kerja perundingan dan perjanjian kontrak untuk memastikan dokumen itu sesuai bagi tender.

“Tender itu untuk perunding utama dengan pelbagai disiplin di bawah penyeliaan mereka, di mana bayaran biasa RM2,000 selalunya untuk satu disiplin saja,” kata IRDA kepada FMT.

“Ini juga langkah untuk memastikan hanya perunding yang serius dan berkemampuan tinggi akan mengambil bahagian dalam proses tender serta diberikan kontrak bagi melaksanakan sebuah projek berpiawaian dan jangkaan tinggi.”

Projek BRT itu turut membabitkan pembinaan sebuah lorong khas bas dan pelantikan perunding utama untuk kerja penyeliaan.

Terdahulu, sebuah syarikat perunding mengkritik IRDA mengenakan bayaran lebih 10 kali ganda daripada biasa ke atas pembida.

“Dalam amalan industri pembinaan, adalah biasa untuk perunding dikenakan caj nominal bagi dokumen tender dan bagi kontraktor, bayaran penyertaan tender akan dipulangkan kepada pembida tidak berjaya,” katanya sambil menambah dokumen tender biasanya berharga RM1,000 hingga RM2,000.

“Dalam kes di mana dokumen tender berharga lebih RM5,000, wang itu biasanya dikembalikan kepada pembida gagal.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.