Bukan semua Melayu sokong kerjasama Umno-PAS, kata Anwar

Bukan semua Melayu sokong kerjasama Umno-PAS, kata Anwar

Presiden PKR berkata, gabungan PH juga dapat sokongan kuat Melayu.

Anwar Ibrahim.
KUALA LUMPUR:
Gabungan PAS dan Umno tidak boleh jamin mendapat sokongan kuat orang Melayu, kata Anwar Ibrahim.

Presiden PKR berkata, parti yang bergabung bawah Pakatan Harapan (PH) juga mendapat sokongan mantap orang Melayu.

“Melayu ini bukan semua dengan PAS dan Umno sahaja. Dalam PKR ada (Melayu), dalam masyarakat biasa ada (Melayu), ahli kita ramai (Melayu), persatuan kita ramai (Melayu),” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus di Parlimen hari ini.

Anwar berkata pendekatan PH lebih bijak, iaitu mereka bukan sahaja berusaha membela nasib Melayu tetapi kaum-kaum lain juga menjadi keutamaan.

“Pendekatan PH bijak dan boleh selesaikan masalah rakyat, terutamanya masyarakat Melayu dan bukan Melayu dalam kumpulan B40 yang perlukan pembelaan.

“Yang penting bukan soal perpaduan Melayu sahaja, tetapi memantapkan kedudukan Islam, memantapkan bahasa dan menjaga kepentingan semua rakyat dan semua kaum di Malaysia.

“Bagi saya isunya ialah soal tadbir urus yang baik dan usaha kita terus bantu semua rakyat dan majoriti rakyat miskin dan terabai adalah Melayu. Tidak perlu hanya tekan satu (kaum) sahaja. Orang India masih memerlukan pembelaan dan beberapa kelompok Cina, kumpulan miskin bandar (juga perlukan pembelaan),” katanya.

Mengulas cadangan Adun Batu Uban, A Kumaresan supaya proses pengambilan alih jawatan perdana menteri daripada Dr Mahathir Mohamad dipercepatkan, Anwar berkata isu peralihan kuasa tidak perlu dibangkitkan.

“Saya nasihat ahli-ahli parti termasuk Adun menghormati semangat PH dan pendirian PKR mendukung kepimpinan Mahathir seperti mana kita sepakati,” katanya.

Anwar turut mengulas cadangan penubuhan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) mengenai kehakiman, susulan dakwaan salahlaku hakim-hakim dalam afidavit Hakim Mahkamah Rayuan, Hamid Sultan Abu Backer

“Kita menunggu bidang kuasa (sebagai) terma rujukan dan kita harap ia dapat mencakupi supaya dapat dipertahankan kewibawaan dan integriti badan kehakiman, tapi dalam masa yang panjang juga kita tekankan,” katanya.

Anwar berkata, mesyuarat hari ini juga membincangkan isu rasuah menerusi penubuhan Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC).

“Kita mendengar sekali lagi pelan tindakan anti rasuah oleh (ketua pengarah GIACC) Abu Kassim (Mohamed) dan kita mahu memberi sokongan yang kuat kepada beliau dan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) untuk memastikan gejala rasuah dan budaya rasuah dapat ditangkis bukan sahaja dalam pengalaman yang lalu tetapi dalam pentadbiran sekarang seperti mana yang diumumkan oleh Mahathir tatkala melancarkan pelan tersebut,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.