MCA, MIC gesa BN bermesyuarat, tentukan masa depan

MCA, MIC gesa BN bermesyuarat, tentukan masa depan

Dua parti pengasas bersama BN mendakwa Nazri Aziz berkali-kali mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dan mengguris hati penyokong mereka.

Presiden MCA, Wee Ka Siong (tengah, duduk) bersama Presiden MIC, SA Vigneswaran dan pimpinan kedua-dua parti selepas mesyuarat hari ini.
PETALING JAYA:
Dua parti pengasas bersama Barisan Nasional menggesa majlis tertinggi gabungan itu segera bermesyuarat untuk membincangkan perkembangan politik semasa dan memutuskan masa depan mereka, susulan kenyataan seorang pemimpin Umno.

Presiden MCA, Wee Ka Siong dan Presiden MIC, SA Vigneswaran dalam kenyataan bersama hari ini mendakwa Nazri Aziz berkali-kali mengeluarkan kenyataan bernada perkauman yang mengguris hati penyokong-penyokong mereka.

“Asas pembentukan BN terancam apabila semangat hormat-menghormati antara satu sama lain tidak wujud yang membawa kepada keretakan antara silaturahim parti-parti komponen,” kata mereka.

Kedua parti itu berkata kenyataan pemimpin Umno tersebut telah merosakkan populariti BN yang dibentuk berasaskan teras perjuangan asal gabungan itu.

“Oleh yang demikian, MCA dan MIC bernekad supaya satu gabungan politik baru dibentuk berlandaskan perjuangan asal dan kembali kepada semangat dan perjuangan yang berlandaskan semangat tolak ansur dan hormat-menghormati antara kaum,” kata mereka.

MCA dan MIC merujuk terutamanya kepada kenyataan Nazri pada pilihan raya kecil Semenyih yang didakwa sudah merosakkan hubungan baik dengan Umno.

Nazri dilapor mempersoalkan pelantikan orang-orang bukan Melayu ke jawatan penting seperti peguam negara, ketua hakim negara dan menteri kewangan, dan memberi amaran kepada kepada orang bukan Melayu untuk tidak persoalkan hak-hak orang Melayu.

Beliau bagaimanapun membidas laporan sekitar ucapannya, mengatakan ia digunakan untuk memberi gambaran yang salah.

Nazri berkata dia hanya menceritakan sentimen di lapangan, dan meminta semua pihak menghormati hak-hak orang Melayu dan bukan Melayu.

Wee dan Vigneswaran bagaimanapun berkata serangan bertubi-tubi oleh pemimpin tertentu terhadap parti komponen membawa kepada ketegangan kaum dan keretakan parti.

“Pemecahan berlaku apabila pemimpin parti komponen telah mengeluarkan kenyataan umum yang rasis dan bertentangan dengan semangat serta matlamat pembentukan BN,” kata mereka.

“Pelantikan Nazri sebagai setiausaha agung BN juga tidak sah dan tidak diterima oleh kedua-dua parti komponen MCA dan MIC,” tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.