7 perisa ais kiub untuk sejukkan diri di musim panas

7 perisa ais kiub untuk sejukkan diri di musim panas

Perisa ais kiub ais yang dikongsi dalam artikel ini pasti membuatkan tekak sejuk dan menjadikan musim panas ini lebih menggembirakan

Malaysia ketika ini sedang mengalami cuaca panas dan kering. Walaupun ada kalanya hujan dan sedikit sebanyak mengurangkan haba panas malangnya, ia masih tidak cukup untuk mengurangkan keterikan matahari yang membuatkan anda tidak bermaya, mengantuk, letih dan malas.

Musim inilah sebenarnya secara tidak langsung akan melariskan segala makanan sejuk seperti cendol, ais kacang atau air batu campur, laici kang, aiskrim dan pelbagai makanan sejuk lain.

Ini kerana pada waktu inilah, badan anda yang terasa kering dan kurang air mendambakan sesuatu bagi menghilangkan kehausan anda.

Daripada berhabis wang setiap hari untuk membeli makanan sejuk, anda boleh cuba bereksperimen sesuatu yang baru untuk menjadikan musim panas anda lebih menyeronokkan dan lebih sejuk.

Disini dikongsikan beberapa perisa kiub ais yang sudah pasti membuatkan tekak anda sejuk dan menjadikan musim panas ini lebih menggembirakan.

Cendol 

Cendol merupakan pencuci mulut kegemaran rakyat Malaysia. Siapa yang boleh puas makan semangkuk sahaja? Rasa lemak santan dan manis gula melaka berserta pulut dan cendol bukan sahaja menyejukkan lidah malah membangkitkan selera anda. Semangkuk cendol berharga RM 4 dan jika dimakan setiap hari boleh membuatkan poket anda kering. Jadi, cara yang paling mudah adalah menyediakan cendol ringkas di rumah dalam bentuk air batu.

Cincau

Perisa seterusnya yang boleh dijadikan perisa kiub ais yang menarik adalah dengan menggunakan cincau. Cincau merupakan bahan yang bewarna hitam dan mempunyai tekstur lembut seperti agar-agar. Ramai yang memikirkan cendol dan cincau adalah sama tetapi tidak. Cincau datang daripada tumbuh-tumbuhan sementara cendol diperbuat daripada tepung. Cincau seringkali diminum pada waktu panas kerana sifat cincau yang menyejukkan. Untuk menjadikan cincau dalam bentuk kiub ais adalah mudah sahaja.

Bandung

Air bandung ialah minuman yang digemari oleh pencinta air manis dan aiskrim Malaysia. Perisa sirap dan susu pekat ini cukup enak dan lemak sehingga membuatkan sesiapa sahaja yang haus hilang dahaganya. Air bandung sedap dinikmati dalam keadaan yang sejuk. Oleh itu, air bandung cukup sesuai untuk dijadikan sebagai perisa kiub ais istimewa pada waktu musim panas ini.

Milo

Milo dan rakyat Malaysia tidak dapat dipisahkan. Mana tidaknya, Milolah air berperisa coklat yang paling enak di Malaysia ini. Kalau pergi ke kedai mamak, inilah minuman wajib yang dipesan. Perkara yang paling tidak menyeronokkan apabila memesan Milo ini adalah apabila ais mencair dan menghilangkan rasa ‘kaw’ Milo tersebut. Dengan ais kiub milo, anda tak perlu lagi risau dengan Milo cair.

Kopi

Sepertimana masalah yang dihadapi dengan Milo, air kopi juga tidak enak diminum apabila ais sudah mencair rasa dan perisa kopi tersebut. Apa gunanya air kopi kalau tiada rasa kopi? Dengan ais kiub ini, anda tidak perlu lagi risau tentang kehilangan rasa kopi apabila ais mencair.

Bunga Kekwa

Seperti cincau, bunga kekwa dan krisantimum menjadi pilihan minuman di kala waktu panas kerana sifat bunga krisantimum yang boleh menyejukkan badan. Selain daripada sifat bunga yang sejuk, air ini juga wangi dan manis secara semula jadi. Oleh itu, perisa air batu ini sesuai untuk diminum bersama air perisa atau air kosong untuk menyegarkan badan anda.

Sirap Selasih

Air sirap selasih merupakan perisa air klasik yang digemari oleh masyarakat Melayu. Air sirap selasih mempunyai sifat sejuk dan nilai khasiat menerusi biji selasih yang dimasukkan ke dalam minuman sirap tersebut. Tak percaya? Anda boleh cuba perisa ini dan nikmati kesegaran minuman ini.

Butterkicap adalah satu platform makanan dan kebudayaan serta komuniti yang membolehkan sesiapa sahaja untuk merasai keindahan Malaysia menerusi cerita tentang orang, makanan dan tempat.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.