
Kumpulan itu akan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, esok.
Ini adalah kejadian ke-2 tahun ini membabitkan rakyat Malaysia yang mencari kerja di luar negara, selepas 47 warganegara ini dibebaskan dari sebuah penjara Kemboja kerana didapati menjadi mangsa sindiket penyeludupan manusia.
Ahli Parlimen Kuching, Dr Kelvin Yii berkata, 8 orang Sarawak itu ditipu satu sindiket pekerjaan tempatan.
Katanya, beliau sentiasa berhubung dengan Menteri Luar, Saifuddin Abdullah, selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu bulan lalu.
Bantuan turut diperolehi daripada Menteri Luar Liberia, Gbehzohgar M Findley untuk membebaskan rakyat Sarawak itu, dengan Malaysia menghantar 2 utusan khas ke Monrovia pada 26 Februari lalu.
Yii berkata, pihak berkuasa perlu menyiasat aktiviti sindiket pekerjaan yang memperdayakan orang tempatan ke negara lain dengan menjanjikan pekerjaan bergaji lumayan.
“Mereka yang bertanggungjawab perlu dibawa ke muka pengadilan dan rakyat perlu diberikan perlindungan lebih baik. Rakyat perlu dididik supaya sentiasa berhati-hati terhadap aktiviti sedemikian. Mereka tidak boleh menjadi mangsa.”