Penjualan Hotel Royale Chulan belum muktamad, kata Kementah

Penjualan Hotel Royale Chulan belum muktamad, kata Kementah

Pejabat Menteri Pertahanan berkata tawaran daripada pembeli sedang ditimbang dan keutamaan adalah kepada syarikat tempatan.

Kementah menjawab laporan media yang menyebut Hotel Royale Chulan Bukit Bintang dijual kepada firma Singapura.
KUALA LUMPUR:
Penjualan Hotel Royale Chulan Bukit Bintang yang dimiliki syarikat milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Boustead Holdings Berhad, masih belum dimuktamadkan.

Dalam kenyataan hari ini, Pejabat Menteri Pertahanan berkata perkara itu masih dalam penilaian memandangkan kedudukan hotel yang terletak di lokasi strategik kawasan pelancongan utama dan zon perhotelan pusat bandar ibu negara.

“Pejabat Menteri Pertahanan ingin menjelaskan bahawa proses penjualan Hotel Royale Chulan Bukit Bintang ini masih belum dimuktamadkan,” demikian menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu juga menegaskan tawaran daripada pembeli yang berminat sedang ditimbang dan keutamaan adalah kepada syarikat tempatan.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai respons kepada laporan media yang menyebut hotel tersebut dijual pada harga RM197 juta selepas menerima tawaran daripada firma Singapura, Hotel Royal Ltd.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.