
Jika penceramah dari India itu mahu berceramah di masjid-masjid di Selangor, pilihannya terhad kepada 3 masjid sahaja yang dibenarkan untuk membawa penceramah dari luar negara, kata Mufti Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid.
Tiga masjid itu adalah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah di Bukit Jelutong dan Masjid Diraja Sultan Sulaiman di Klang.
“Itupun dengan permohonan daripada jawatankuasa dari 3 masjid berkenaan,” kata Tamyes.
Beliau memaklumkan Selangor tidak memberikan tauliah kepada penceramah asing tetapi kebenaran sementara yang tertakluk kepada kelulusan Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Selangor.
“Penceramah dari luar setiap kali berceramah kena mohon semula kelulusan sebelum tempoh tarikh ditetapkan,” katanya.
Beliau menambah sebelum ini penceramah berkenaan pernah berceramah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.
Bagi Pahang pula, memohon kebenaran untuk berceramah adalah proses biasa bagi semua penceramah yang tidak mempunyai tauliah atau dari luar negeri itu.
“Peraturan kita antaranya penceramah mesti Ahli Sunnah Wal Jamaah, dan antaranya mengikut aliran Imam Syafie,” kata Mufti Datuk Seri Abdul Rahman Osman.
Bagi Perak pula, Mufti Tan Sri Harussani Zakaria berkata Naik perlu mematuhi garis panduan dan syarat-syarat yang ditetapkan jabatan agama Islam negeri.
“Setakat sekarang ini tidak ada sekatan untuk beliau berceramah di Perak,” katanya.
Terdahulu, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) tidak membenarkan Naik menyampaikan ceramah terbuka di Pulau Pinang yang dijadualkan pada Jun kerana tidak mempunyai tauliah.
Pengarah Zulkifli Long berkata Naik boleh memohon tauliah yang menetapkan 6 syarat, antaranya tidak mengajar sesuatu yang bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah, dan tidak menyakitkan hati penganut agama dan budaya lain.
Naik dituduh menyampaikan ucapan-ucapan yang bersifat provokasi, yang menurut Bangladesh menjadi penyebab kepada serangan yang meragut 22 nyawa di Dhaka pada 2016.
Agensi Penyiasatan Kebangsaan India juga sedang menyiasat Yayasan Penyelidikan Islam milik Naik atas dakwaan pengubahan wang.
Naik menafikan semua tuduhan itu, mengatakan dia mangsa media India yang dituduh mensensasikan isu berkenaan dalam usaha mendapatkan lebih ramai penonton.