
Mohd Amirul Abdullah, 23, yang beralamat di Kampung Parit Tengah, Pekan sekadar mengangguk tanda memahami pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Melayu di hadapan Majistret Azizah Ahmad.
Lelaki yang bertubuh kecil itu didakwa membunuh Siti Masitah, 11, yang juga warga Kemboja antara 5.50 petang dan 8 malam, 30 Januari lalu di kawasan belukar padang ragut, Kampung Tanjung Medang Hilir di Pekan.
Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Azizah menetapkan 25 Mac ini bagi serahan dokumen forensik, laporan kimia dan bedah siasat.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syamsul Kahar Ahmad Nadri, manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Deniel Roslan.
Pada 9 Februari lalu, media melaporkan penemuan mayat Siti Masitah dalam keadaan menyayat hati dan tidak sempurna. Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh lebih seminggu sebelum mayatnya ditemui.
Keluarga mangsa membuat laporan kehilangan kanak-kanak itu pada petang 30 Januari setelah dikatakan tidak pulang ke rumah selepas keluar ke kedai.