Putrajaya tak lanjut moratorium bauksit di Pahang selepas 3 tahun

Putrajaya tak lanjut moratorium bauksit di Pahang selepas 3 tahun

Xavier Jayakumar berkata, pihak yang melanggar SOP baru perlombongan dan pengeskportan bauksit boleh dihukum penjara maksimum 3 tahun dan denda RM500,000.

Xavier Jayakumar (4 dari kanan) melawat tempat penyimpanan dan perlombongan bauksit di sekitar Kuantan dan Pelabuhan Kuantan, semalam. (Gambar Bernama)
KUANTAN:
Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar mengumumkan tempoh moratorium kegiatan perlombongan dan pengeksportan bauksit dari Pahang yang akan berakhir 31 Mac depan tidak akan dilanjutkan.

Berikutan itu, semua aktiviti melombong dan pengeksportan bahan mineral berkenaan boleh diteruskan semula, namun kali ini dengan prosedur operasi standard (SOP) baru serta penguatkuasaan undang-undang lebih ketat.

“Moratorium tidak akan dilanjutkan selepas 31 Mac ini…Saya nampak industri bauksit di Pahang ini memang ada permintaan tinggi dan keuntungan yang diperoleh kerajaan juga banyak.

“Pada 2015 sahaja, kerajaan negeri direkodkan menerima RM47 juta hasil pembayaran royalti, kerajaan pusat kita tidak dapat apa-apa bahagian, hanya beri kelulusan untuk permit import (AP).

“Dalam perbincangan dengan semua pihak berkepentingan sebelum ini, tidak ada satu pun yang menyatakan kita kena hentikan industri bauksit di Pahang, sama ada pemimpin politik tempatan mahupun kerajaan negeri, semua bersetuju industri ini ada potensi besar dan ia perlu diteruskan,” katanya selepas mengadakan lawatan ke kawasan penyimpanan bauksit di sekitar daerah ini dan Pelabuhan Kuantan semalam.

Menurutnya, dalam masa sama, sebanyak 435,000 tan metrik bauksit yang masih berada di kawasan penyimpanan Pelabuhan Kuantan dan Pelabuhan Kemaman perlu dikosongkan segera dalam sebulan, sebelum 31 Mac depan.

Ini kerana, katanya, dalam SOP baru yang akan diperkenalkan nanti, hanya bauksit yang telah dicuci, dibenarkan untuk dieksport demi menjaga alam sekitar.

“Kementerian dengan kerjasama pihak yang berkenaan telah menyediakan satu SOP baru dan saya minta kerjasama dengan semua pihak yang berkenaan, khususnya pelombong supaya mematuhi syarat dan peraturan yang kami tetapkan.

“Mana-mana pemain industri ini yang ingkar boleh dikenakan hukuman maksimum denda RM500,000 dan 3 bulan penjara, jika didapati melakukan pencerobohan dan perlombongan secara haram mengikut Enakmen Mineral Negeri Pahang 2001.

“Kami akan kuatkuasakan SOP itu, jadi pihak industri akan mematuhi apa yang kami tetapkan, itu adalah penting.”

Xavier berkata, SOP baru itu meliputi 4 aspek penting, iaitu pengurusan ekstrak bauksit, pengangkutan dan penguatkuasaan, kawasan penyimpanan dan pengurusan di pelabuhan serta pengeksportan bauksit.

Menurutnya, aspek yang menjadi tumpuan sebelum ini ialah pengangkutan dan penguatkuasaan longgar sehingga berlakunya pencemaran alam sekitar, sekaligus membawa kepada pelaksanaan moratorium aktiviti itu bermula 15 Januari 2016.

Beliau berkata, bagi mengatasinya, setiap pelombong perlu mendaftar dengan Pejabat Tanah dan Galian negeri, selain hanya lori daripada jenis ditetapkan yang akan dibenarkan mengangkut bahan itu dari kawasan penyimpanan ke pelabuhan.

“Jika SOP ini berjaya dilaksanakan tanpa masalah, kami akan perluaskan pelaksanaannya ke negeri lain yang juga mempunyai bauksit, iaitu Terengganu dan Johor.

“Setakat ini, Terengganu menunjukkan minat (eksport bauksit), tetapi kementerian akan berbincang dahulu dengan kerajaan negeri bagaimana untuk melaksanakan industri ini.”

Dalam perkembangan lain, katanya, kementerian diminta Kabinet untuk mengkaji kawasan kaya bahan mineral untuk diterokai, berikutan permintaan tinggi di pasaran, termasuk bijih timah.

Xavier berkata, berikutan itu, kementeriannya akan mengadakan simposium dan pameran pada masa akan datang untuk melihat perkara itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.