
Seperti kita semua sedia maklum, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya Seremban pada 16 November lalu yang mengisytiharkan kemenangannya di DUN Rantau pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), terbatal dan tidak sah.
Keputusan itu sekali gus membuka laluan kepada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.
Dalam masa sama, Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin mengulangi pendiriannya sebelum ini untuk parti itu meletakkan calon wanita bertanding dalam PRK itu.
Beliau berkata, calon yang akan diketengahkannya mempunyai naluri untuk berkhidmat kepada rakyat.
Saya pasti Dr S Streram juga mempunyai nilai dan kualiti untuk berkhidmat kepada rakyat dan itulah asas kepada pencalonannya di DUN Rantau pada PRU14 oleh PKR.
Kita juga sedia maklum beliau telah berkhidmat di DUN Rantau sebelum dipilih sebagai calon pada PRU14.
PRK DUN Rantau adalah hasil petisyen pilihan raya difailkan Dr Streram, oleh itu beliau wajar diberikan peluang sekali lagi untuk bertanding dalam PRK yang bakal diadakan. Beliau juga layak dicalonkan berdasarkan 3 perkara, iaitu khidmat, populariti dan demografi pengundi.
Sebelum ini, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan penangguhan kongres berkata, calon DUN Rantau pada pilihan raya umum lepas, Dr Streram sesuai bertanding pada PRK itu.
Beliau juga memberitahu para perwakilan yang Dr Streram dinafikan hak bertanding pada PRU14.
Saya berharap pemilihan calon untuk PRK DUN Rantau akan diserahkan sepenuhnya kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan dan mencadangkan Dr Streram diberikan peluang sekali lagi untuk bertanding di PRK DUN Rantau yang bakal diadakan.
Ravivarman Abboo ialah pembaca FMT.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.