Timbalan menteri: Parlimen akan tubuh taska galak wanita sertai politik

Timbalan menteri: Parlimen akan tubuh taska galak wanita sertai politik

Hannah Yeoh berkata, Parlimen memerlukan Taska bagi mengalakkan penglibatan wanita dalam politik.

Hannah Yeoh berkata, taska itu ditubuhkan bagi memudahkan wakil rakyat, wartawan dan kakitangan Parlimen. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan bercadang membina taman asuhan kanak-kanak (taska) di Parlimen bagi kegunaan wakil rakyat, wartawan dan kakitangan dalam usaha menggalakkan pembabitan wanita dalam politik, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.

Katanya, perancangan itu mendapat sokongan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof yang sedang mencari lokasi sesuai, mungkin di dalam Parlimen atau tidak terlalu jauh dari Parlimen.

“Kita telah berjumpa dengan speaker dan kita rasa penambahan taska ini perlu, terutama di Parlimen sebab kadang-kadang ada ahli Parlimen wanita yang balik sehingga 10 malam.

“Begitu juga kepada pekerja di Parlimen dan wartawan,” katanya selepas menghadiri persidangan kepimpinan politik wanita di Parlimen hari ini.

Pada 2 November lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dilaporkan berkata, Putrajaya memperuntukkan RM10 juta untuk menubuhkan 50 taska di bangunan kerajaan dalam usaha meringankan beban ibu bekerja.

Katanya, ketika ini, hampir 36% daripada penjawat awam kumpulan pengurusan tertinggi terdiri daripada wanita.

Yeoh berkata, kira-kira 500 kementerian dan agensi kerajaan belum menyediakan taska bagi kakitangan mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.