
Ketua Pemuda Abdul Aziz Julkarnain berasa aneh dengan Warisan yang pada mulanya menentang keputusan Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Malah, seorang pemimpin parti sekutu, DAP menuduh Dr Mahathir menikam gabungan itu di belakang dengan keputusan itu, katanya.
Aziz berkata dia terhibur dengan gelagat pemimpin Warisan dan DAP yang berulang kali memberi peringatan kepada PPBM.
“Barisan Nasional (BN) tidak merasakan sebarang ancaman dengan keputusan PPBM untuk melebarkan sayapnya ke Sabah kerana kita tahu Malaysia negara demokrasi,” katanya.
Aziz percaya bantahan Warisan itu bertujuan mengaburi mata rakyat kerana parti itu sudah mengkhianati slogan “Sabah untuk rakyat Sabah” apabila ia bekerjasama dengan PPBM dan sekutu-sekutu lain dalam Pakatan Harapan.
Beliau mencabar Shafie menunjukkan keikhlasannya dengan mengumumkan perpisahan dengan PH atau meletakkan jawatan ketua menteri Sabah.
“Buktikan kepada rakyat Sabah bahawa perjuangan Warisan yang melaungkan slogan ‘Sabah untuk rakyat Sabah’ itu suatu perjuangan yang jujur untuk rakyat Sabah.
“Jika Shafie enggan melepaskan jawatan, sila hentikan sandiwara kononnya Warisan tidak berpuas hati dengan PPBM,” katanya.
Terdahulu pada sidang akhbar hari ini, Shafie menerima keputusan PPBM meluaskan sayapnya ke negeri itu dan berkata pihaknya akur mana-mana parti berhak bertapak di Sabah.
Beliau menggesa penyokong Warisan untuk bersabar dan menerima tindakan PPBM itu.