
Ketua pegawai eksekutif KWSP, Tunku Alizakri Alias berkata dalam satu taklimat media bahawa badan itu terpaksa melihat ke luar negara bagi memperoleh pulangan lebih baik untuk membayar dividen lebih tinggi kepada ahlinya.
“Pasaran luar negara berkembang lebih cepat berbanding pasaran modal tempatan,” kata Alizakri.
Beliau menambah bahawa ekuiti kekal menjadi penyumbang utama kepada pendapatan KWSP tahun lepas, iaitu sebanyak 57.96% atau RM29.8 bilion. Ia merosot sebanyak 6.96% berbanding RM31.47 bilion pada 2017.
Berhubung unjuran bagi tahun 2019, Alizakri berkata, keadaan tidak menentu berikutan ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat dengan China, selain isu Brexit di Eropah.
KWSP mempunyai 14 juta ahli dan mengurus dana berjumlah kira-kira RM800 bilion.
Bagi tahun 2018, ia membayar dividen 6.15% bagi skim simpanan konvensionalnya dan 5.9% kepada skim simpanan syariah. Pendapatan kasar ke atas pelaburan bagi tahun 2018 ialah sebanyak RM50.88 bilion.
KWSP perlu menjana pendapatan sebanyak RM7.72 bilion untuk membayar setiap 1% dividen kepada ahlinya.
Ia kini melabur di 40 negara dengan portfolio luar negaranya bernilai RM222.61 bilion.
Portfolio KWSP terbahagi kepada 50% pendapatan tetap, 39% ekuiti, 6% pasaran wang dan 5% hartanah dan infrastruktur. Peruntukan aset startegiknya akan dikaji semula tahun ini.