
Sumber berkata, kontroversi terbaru mengenai kelayakan akademik Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya adalah salah satu daripada serangan itu, dengan menambah sebilangan organisasi media digunakan “tanpa segan-silu untuk menyerang peribadi beliau berhubung satu perkara remeh”.
“Serangan itu akan ditingkatkan dalam masa terdekat dengan lebih banyak laporan yang mendesak Marzuki meletakkan jawatan. Ketepikan hakikat bahawa beliau tidak pernah mendakwa dirinya merupakan pemegang ijazah daripada Universiti Cambridge,” kata sumber kepada FMT.
Jumaat lepas, Marzuki menjawab balik dakwaan bahawa beliau memiliki ijazah “palsu” Cambridge.
Pengerusi PPBM Pulau Pinang itu berkata, beliau tidak pernah mendakwa dirinya graduan Universiti Cambridge seperti dicatatkan dalam entri Wikipedia mengenai beliau, tetapi mengakui mengambil kursus ijazah jarak jauh di sebuah institusi pengajian kurang dikenali bernama Cambridge International University (CIU).
CIU dilabelkan sebagai “kilang diploma” oleh sebuah badan perunding pendidikan yang berpangkalan di Amerika Syarikat.
Marzuki berkata, beliau mengambil kursus jarak jauh CIU dalam bidang logistik, dan menambah ia membantu beliau mengurus syarikat logistik miliknya di Pulau Pinang.
Sumber PPBM menyifatkan Marzuki sebagai seorang yang “berdaya usaha”.
“Jika Marzuki ‘bersalah’ pun, maka dia bersalah kerana mencari ilmu semata-mata kerana ilmu, bukan untuk mendapatkan ijazah yang diiktiraf,” katanya.
Sumber berkenaan bagaimanapun menambah, kelemahan Marzuki ialah beliau tidak segera memberi respons terhadap serangan media mengenai latar belakang pendidikannya.
“Beliau berbolak-balik, dan itu tidak baik bagi seseorang yang memegang portfolio berkaitan hubungan luar,” kata sumber itu lagi.
Katanya, sebagai seorang senator yang dilantik ke jawatan penting, Marzuki merupakan sasaran biasa.
“Dalam keadaan politik hari ini, tidaklah memeranjatkan beliau diserang. Walaupun seorang senator, Marzuki adalah juga seorang timbalan menteri dan setiausaha agung parti, semua jawatan besar,” katanya.