Minggir, Singapura beritahu kapal Malaysia selepas pergeseran

Minggir, Singapura beritahu kapal Malaysia selepas pergeseran

Kementerian Hal-ehwal Luar Singapura berkata, kehadiran berterusan kapal Malaysia jelas merupakan ancaman terhadap keselamatan pelayaran di kawasan itu.

Kapal Malaysia, Polaris, bergeser dengan kapal muatan besar yang didaftarkan di Greece, Sabtu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Singapura hari ini mendesak Malaysia menarik keluar kapalnya dari perairan republik itu berhampiran Tuas dan satu kawasan yang berada di luar tuntutan perairan Malaysia pada 1979, susulan pergeseran antara kapal milik kerajaan Malaysia, Polaris, dengan MV Piraeus.

Kementerian Hal-ehwal Luarnya berkata, kehadiran berterusan kapal Malaysia jelas merupakan ancaman terhadap keselamatan pelayaran di kawasan itu, yang tidak diiktiraf olehnya sebagai milik Malaysia.

“Seperti yang disebut sebelum ini, Malaysia bertanggungjawab ke atas mana-mana kejadian tidak diingini atas alasan ia berlaku kerana kehadiran berterusan kapalnya di kawasan ini,” kata jurucakap kementerian tersebut, dengan menambah bahawa Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan (MPA) Singapura sedang menyiasat kejadian itu.

Jabatan Laut Malaysia berkata, kejadian melibatkan Polaris dan kapal muatan besar yang berdaftar di Greece itu berlaku di perairan Malaysia.

Ketua pengarah jabatan itu, Datuk Baharin Abdul Hamid berkata, Polaris ditugaskan memastikan keselamatan kapal yang mengunakan perairan Pelabuhan Johor Bahru.

“Kejadian terbaru berlaku dalam perairan Pelabuhan Johor Bahru. Isu menceroboh perairan Singapura tidak timbul,” katanya, dipetik agensi berita Bernama.

Berikutan pergeseran yang berlaku petang semalam MPA Singapura berkata, ia bimbang atas kehadiran “kapal tidak bertauliah dalam sempadan Pelabuhan Singapura,” dengan menambah, ia juga merupakan satu ancaman terhadap “keselamatan pelayaran dalam perairan kami.”

Kejadian terbaru berlaku sebulan selepas kerajaan Singapura membantah lawatan Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian ke atas sebuah kapal Malaysia, yang didakwa “dilabuhkan secara tidak sah” di perairan berdekatan Tuas.

Republik itu kemudiannya menangguhkan mesyuarat tahunan Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri mengenai Iskandar Malaysia (JMCIM) dengan berkata, perbuatan Osman adalah provokatif.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.