Mana rumah kami, tanya penduduk selepas 15 tahun menunggu

Mana rumah kami, tanya penduduk selepas 15 tahun menunggu

Penduduk di Jinjang menunjuk perasaan kerana kelewatan menyediakan perumahan alternatif.

Penduduk di Jinjang menunjuk perasaan kerana kelewatan menyediakan perumahan alternatif.
KUALA LUMPUR:
Lebih 1,000 penduduk di tanah milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Jinjang, Segambut mahu kediaman kos rendah dan mampu milik siap sebelum mereka mengosongkan tanah yang diduduki untuk satu projek pembangunan.

Mereka persoalkan kesungguhan pemaju dan DBKL menyediakan kediaman alternatif walaupun sudah 15 tahun sejak isu itu mula dibangkitkan.

Para penduduk memiliki lesen pendudukan sementara (TOL) bagi lot 9714 Jinjang Selatan Tambahan (JST) Kuala Lumpur.

Selepas lesen luput pada 1996, mereka berjaya baharuinya pada 2004. Tetapi pada 2007, DBKL meluluskan rancangan pembangunan oleh Syarikat Zil Enterprise Sdn Bhd untuk tanah itu.

Bilangan asal rumah-rumah berkurangan daripada 545 kepada 345 selepas penduduk di kira-kira 200 unit diarah mengosongkan rumah masing-masing dan kediaman mereka akan dirobohkan.

Mereka kini tinggal di premis yang disewa, dan pemaju memberikan RM700 kepada setiap keluarga setiap bulan.

Sekarang, penduduk lain yang masih berada di tanah itu diberi notis pengusiran, mengarahkan mereka keluar menjelang 31 Januari.

“Tidak ada tanda-tanda pembangunan, satu tanda pun tak ada, dan mereka mahu yang lain-lain berpindah, ini tak adil,” kata Yee Poh Peng, yang mengetuai pusat khidmat penduduk Kepong.

Beliau bertegas penduduk hanya akan keluar selepas pemaju siapkan pangsapuri kos rendah dan perumahan mampu milik sebagai kediaman alternatif untuk mereka.

Yee mendakwa Datuk Bandar Kuala Lumpur, Nor Hisham Ahmad Dahlan, yang melawat kawasan pada 30 Januari lepas memberi “janji lisan” untuk memulakan kerja-kerja membina perumahan alternatif menjelang April.

“Kami mahu dalam bentuk bertulis agar hati tenang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.