
Hanafiah menambah jabatan itu menerima arahan daripada kerajaan dalam ia menjalankan peranan tersebut.
“Jabatan akan sentiasa patuh kepada segala arahan kerajaan selagi ianya sah dan tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan atau mana-mana undang-undang bertulis lain,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, MCA persoalkan kebebasan jabatan itu kerana surat yang didakwa menimbulkan idea bahawa pegawainya seakan berat sebelah terhadap Barisan Nasional.
Surat itu, yang ditandatangani oleh Hanafiah, memaklumkan bahawa perdana menteri dalam satu mesyuarat pada 19 Disember 2018 “memberi peringatan” supaya pendakwaan kes-kes rasuah ke atas “individu-individu tertentu” dijalankan mengikut jadual.
Dengan peringatan tersebut, Peguam Negara Tommy Thomas mengarahkan jabatan membantah sekeras-kerasnya sebarang permohonan untuk menangguhkan pendengaran perbicaraan kes-kes 1MDB dan bekas anak syarikat, SRC International, dan lain-lain kes berkaitan “kerajaan kleptokrasi”.
“Adalah merupakan tanggungjawab saya, selaku peguam cara negara III, yang bertanggungjawab dalam hal pendakwaan, untuk memaklumkan kepada semua timbalan pendakwaraya yang terlibat berkenaan arahan kerajaan untuk memastikan kes-kes tersebut segera dijalankan selaras dengan tarikh-tarikh yang telah ditetapkan oleh pihak mahkamah,” kata Hanafiah hari ini.
Beliau menambah hal itu konsisten dengan Subseksyen 172B(4) Kanun Tatacara Jenayah yang menghendaki perbicaraan mesti dimulakan tidak lewat dari 90 hari setelah tertuduh dituduh di mahkamah. Dengan kata lain, timbalan pendakwaraya yang terlibat hendaklah bersiap sedia untuk menjalankan kes mengikut jadual.
“Tambahan pula, rakyat Malaysia juga dikatakan sedang ternanti-nanti untuk perbicaraan kes-kes tersebut bermula,” katanya.
“Walau bagaimanapun, kami mengambil maklum bahawa keputusan muktamad berkaitan perjalanan sesuatu kes tersebut akan hanya ditentukan oleh hakim yang mendengar perbicaraan kes tersebut.”
Semalam, jurucakap MCA, Chan Quin Er berkata surat yang tular itu menimbulkan idea jabatan itu tidak bertindak secara bebas dan menerima arahan daripada cabang eksekutif.
“Istilah kerajaan kleptokrasi pertama kali ditimbulkan oleh DAP dan Pakatan Harapan sebagai slogan pilihan raya tetapi tuduhan itu tidak pernah disiasat, belum terbukti dan tidak membawa kepada sebarang sabitan.
“Oleh itu, mengikut undang-undang dan logik, bagaimana jabatan itu boleh menggunakan istilah itu terhadap kerajaan persekutuan tanpa memfitnahnya?” katanya dalam kenyataan.