Ijazah ‘palsu’: Nga Kor Ming pertahan Adun Tronoh

Ijazah ‘palsu’: Nga Kor Ming pertahan Adun Tronoh

Adun Tronoh, Paul Yong Choo Kiong didakwa memiliki ijazah sarjana dalam bidang pentadbiran perniagaan (MBA) dari Universiti Akamai, AS, yang diragui.

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming berkata, banyak universiti tersohor dunia, termasuk dari Taiwan dan China tidak mendapat pengiktirafan MQA. (Gambar Bernama)
TELUK INTAN:
Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming mempertahankan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tronoh Paul Yong Choo Kiong yang didakwa memiliki ijazah sarjana dalam bidang pentadbiran perniagaan (MBA) dari Universiti Akamai, Amerika Syarikat, yang diragui.

Kata Nga, isu yang ditimbulkan oleh presiden MCA itu disifatkan sebagai ketandusan idea politik kerana Yong yang juga bendahari parti itu sememangnya memperoleh MBA secara sah menerusi lulus peperiksaan, cumanya ketika itu universiti berkenaan belum mendapat pengiktirafan rasmi daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

“Datuk Seri Wee Ka Siong bankrap idea dan sebab itulah dia ungkitkan perkara yang tidak benar. Dia patut minta maaf apabila mengeluarkan tohmahan mengatakan ahli Exco itu miliki ijazah sarjana palsu.

“Kita tahu banyak universiti tersohor di dunia ini, termasuk dari Taiwan dan China yang memang berkelayakan, tapi tidak ada pengiktirafan daripada MQA,” katanya.

Nga yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri rumah terbuka Tahun Baharu Cina yang diadakan di perkarangan Menara Condong Teluk Intan di sini, malam tadi.

Adun Tronoh, Paul Yong Choo Kiong.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu berkata, inisiatif menyambung belajar demi meningkatkan diri yang ditunjukkan Yong ketika itu sebagai ahli perniagaan sebelum beralih menjadi wakil rakyat adalah terpuji kerana beliau melakukannya bukan untuk kepentingan politik.

Yong yang juga pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu adalah antara beberapa nama pemimpin Pakatan Harapan (PH) terpalit isu dakwaan memiliki ijazah palsu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.