
Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu tidak mengetahui cerita sebenar mengenai status permit yang bertarikh 14 Disember 2018 melibatkan projek pembangunan ladang hutan dalam Hutan Simpan Kledang Saiong dan Hutan Simpan Bukit Kinta Daerah Hutan Kinta Manjung.
“…saya tak tahu hujung pangkal jadi saya tidak boleh nak cakap. Saya kena periksa dengan Pejabat Tanah dan Galian serta Pejabat Perhutanan, benda-benda macam ini saya perlu periksa betul-betul dahulu.
“Ada yang kata hutan digazet itu saya yang buat, ada yang kata 2015, biar saya periksa dahulu,” katanya selepas merasmikan Majlis Lou Sang Terpanjang di Perak anjuran Marina Island Pangkor Resort and Hotel hari ini.
Seramai 2,000 orang daripada pelbagai kaum termasuk pengunjung dari luar negara menyertai majlis lou sang sepanjang 60 meter itu.
Tular sepucuk surat di media sosial mendakwa kerajaan Perak, melalui Mesyuarat Jawatankuasa Sumber Hasil Hutan Perak Bil 2/2018 pada November 2018 meluluskan kawasan seluas 400 hektar kepada sebuah syarikat bagi tujuan Projek Pembangunan Ladang Hutan.
Sementara itu, Faizal menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat kes penerokaan haram berhampiran Bukit Kledang di Ipoh, susulan laporan polis yang dibuat oleh Parti Sosial Malaysia (PSM).
Katanya, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab di sebalik pencerobohan kawasan cerun bukit itu dan tindakan segera telah diambil untuk mengawal lokasi pencerobohan.
“Kita telah mengambil tindakan segera sebaik sahaja pencerobohan itu didedahkan dengan menutup kawasan itu dan mendapatkan khidmat polis bantuan untuk mengawal lokasi tersebut.
“Fokus kita sekarang ialah untuk memulihkan semula kawasan yang terjejas akibat penerokaan haram,” katanya.
PSM hari ini membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Ipoh berhubung penerokaan tanah secara haram milik Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) dan kerajaan negeri berhampiran Bukit Kledang.