
Lawatan Modi itu sebahagian daripada siri rapat umum untuk menarik sokongan kepada parti nasionalis Hindu, Bharatiya Janata, menuju pilihan raya India pada Mei.
Meskipun kedua-dua negara cuba memulihkan hubungan mereka, pertikaian mengenai sempadan India-China yang mencetuskan perang pada 1962 dan Arunachal Pradesh yang dituntut oleh China sebagai selatan Tibet masih sensitif.
“China menggesa India supaya mempertimbangkan hubungan 2 hala, menghormati kepentingan dan kebimbangan China, meraikan momentum hubungan antara kedua negara yang semakin baik, dan mengelak daripada mengambil sebarang tindakan yang boleh memburukkan lagi pertikaian dan merumitkan isu sempadan,” kata kementerian dalam kenyataan.
Menjawab kenyataan itu, jurucakap kerajaan India di kementerian luar negeri berkata Arunachal Pradesh tidak boleh dipisahkan daripada India.
“Pemimpin India dari semasa ke semasa melawat Arunachal Pradesh, seperti lawatan ke tempat-tempat lain di India. Pendirian ini sudah beberapa kali dimaklumkan kepada China.”
India dan China cuba memulihkan kepercayaan selepas pertembungan bersenjata di sempadan banjaran Himalaya pada 2017.
Modi dan Presiden Xi Jiping bertemu beberapa kali tahun lepas bagi mendorong rundingan perdagangan, tetapi kemajuan mesyuarat-mesyuarat itu sangat perlahan, menurut pegawai kerajaan India dan wakil-wakil badan perdagangan India.