Kanak-kanak luah isi hati menerusi terapi ‘bermain’

Kanak-kanak luah isi hati menerusi terapi ‘bermain’

Permainan atau aktiviti bermain, digunakan sebagai platform untuk kanak-kanak meluahkan perasaan dan berkomunikasi.

Kanak-kanak lazimnya tidak tahu untuk meluahkan perasaan apabila berdepan dengan situasi diherdik, masalah yang sukar atau menyedihkan dalam perjalanan hidup.

Namun ‘masalah’ itu boleh diatasi melalui “permainan” yang dipercayai menjadi terapi yang mengalihkan beban mereka.

Merungkai perkara itu, FMT Ohsem mendekati pensyarah Program Kaunseling, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Siti Nurbailah Mohd. Yusof.

Menurut beliau, kanak-kanak tidak mempunyai autonomi dan bukan seperti orang dewasa untuk menjelaskan perkara dalam fikiran tapi akan lebih memilih untuk mendiamkan diri.

Dr. Siti Nurbailah Mohd. Yusof.

Keadaan tersebut boleh membawa mereka menjadi seorang pendendam jika tidak diurus dengan betul.

Katanya, tekanan emosi yang tidak diuruskan sejak peringkat awal boleh menjadi parah dan seterusnya menular menjadi masalah mental.

“Sebab itu kaedah bermain dijadikan terapi bagi berkomunikasi dan membantu orang, terutamanya kanak-kanak untuk mencegah atau menyelesaikan cabaran psikososial.

“Terapi tersebut dipercayai untuk membantu mereka ke arah integrasi sosial, pertumbuhan dan pembangunan yang lebih baik, pemodulasi emosi, dan resolusi trauma,”katanya kepada FMT Ohsem.

Oleh demikian, bermain merupakan bahasa bagi kanak-kanak dan sesuai untuk kanak-kanak yang berusia 3 hingga 16 tahun.

Antara manfaat bermain kepada kanak-kanak ialah:

1. Aktiviti mengembangkan ekspresi diri

Bermain adalah satu bentuk keriangan, aktiviti menyeronokkan yang menaikkan semangat dan memberi sudut pandangan lain terhadap kehidupan. Melalui terapi ini kanak-kanak mengembangkan ekspresi diri, pengetahuan, potensi dan efikasi kendiri.

2. Melegakan tekanan perasan

Terapi bermain melegakan tekanan perasaan dan kebosanan, menghubungkan kita dengan orang lain secara positif, merangsang penerokaan dan pemikiran kreatif dan mengawal emosi.

3. Alternatif meneroka masalah

Penggunaan terapi bermain merupakan satu alternatif untuk meneroka masalah sosio-emosi kanak-kanak dengan lebih mudah tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada penjelasan lisan. Mereka juga mungkin belum boleh mengekspresi apa yang ingin disampaikan.

4. Beri peluang untuk meluah perasaan melalui permainan

Melalui terapi bermain, kanak -kanak akan meluahkan apa yang terbuku di dalam hatinya tanpa paksaan. Contohnya memberi 12 patung askar dan meminta mereka bermain perang, di situ kita akan nampak mereka bertindak menembak mati indivdu yang dia tidak disukai. Keadaan tersebut jelas menonjolkan perasaan yang terbuku di sanubarinya tanpa dibuktikan melalui kata-kata.

5. Menenangkan

Terapi bermain membuatkan kanak-kanak lebih rileks dan boleh meningkatkan keyakinan diri.

6. Meningkatkan komunikasi

Walaupun terapi ini dilhat tidak serius namun ia meningkatkan kemampuan komunikasi.
Ia salah satu cara untuk meneroka masalah dan menggalakkan kanak-kanak untuk menceritakan semula apa yang telah berlaku.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.