
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Lim Bak Phai berkata bas berkenaan yang dalam perjalanan dari Kedah menuju ke Shah Alam melanggar belakang lori tangki itu yang bergerak perlahan di lorong kiri lebuh raya.
“Akibat pelanggaran itu, pemandu bas tersepit dan meninggal dunia di tempat kejadian, seorang daripada 30 penumpang bas itu mengalami cedera parah manakala 9 lagi dilaporkan cedera ringan.
“Semua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Lim berkata lori tangki itu membawa susu getah dan pemandunya tidak mengalami sebarang kecederaan, namun pemandu itu ditahan selepas semakan mendapati dia dikehendaki bagi kes pecah amanah yang disiasat mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan.
“Siasatan lanjut berhubung kemalangan itu masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.