
Tetapi hari ini, keadaannya sudah jauh berubah apabila hasil hutan itu semakin berkurangan dan mempunyai nilai harga yang rendah khususnya bagi masyarakat Orang Asli di Cameron Highlands.

Aktiviti tradisi turun-temurun masyarakat Orang Asli itu kian terhakis akibat perkembangan teknologi serta kegiatan pencerobohan tanah bagi tujuan pertanian.
Seorang penduduk Orang Asli ditemui FMT, Yubasir Batrin, 49, berkata antara faktor Orang Asli di kawasan itu tidak lagi boleh bergantung kepada Tongkat Ali dan Kacip Fatimah sebagai sumber pendapatan utama adalah kerana harganya terlalu rendah.
“Sekarang bahan itu tidak laku lagi, nak mencarinya dalam hutan ambil 1 hari, tapi harganya cuma RM15 bagi 1kg. Macam mana mahu cari makan?
“Sebab itu kami tidak mahu terus cari bahan itu lagi. Lagi baik tumpu kerja kebun. Boleh dapat lebih banyak duit,” katanya.

Sementara itu, Ayie Bakun, 80, berkata, dia sudah berhenti mencari Tongkat Ali dan Kacip Fatimah kerana harganya murah dan sukar ditemui disebabkan banyak kawasan hutan sudah diteroka.
“Kami susah nak cari bahan itu, kena masuk hutan hingga 5km baru boleh jumpa. Nak jual pun susah, tidak ada orang beli. Kalau ada pun sebatang RM1 sahaja.
“Kawasan yang ada Tongkat Ali dan Kacip Fatimah sudah ditebang dan ditanam dengan tanaman buah dan sayur,” katanya.
Selain itu, katanya, golongan yang tinggal di bandar tidak lagi mencari herba tersebut dalam bentuk asal.
“Zaman sekarang bahan Tongkat Ali dan Kacip Fatimah di buat dalam bentuk pil dan dijual merata tempat di bandar.”
Musang King lebih lumayan
Manakala, Ayau Antu, 79, berkata, dia berhenti daripada mencari Tongkat Ali dan Kacip Fatimah sejak 2 tahun lalu kerana tiada permintaan.
“Kami keluar ke jalan raya, jual tepi jalan, tapi tidak ada orang beli,” katanya.
Ekoran daripada itu, dia beralih kepada menanam durian jenis Musang King yang lebih menguntungkan.
“Kebanyakan Orang Asli di Cameron Highlands kini bertukar kepada aktiviti pertanian, tapi ada juga yang keluar bekerja di kilang-kilang dan hotel.
“Saya tanam pokok durian sebab untungnya banyak. Jual Tongkat Ali dan Kacip Fatimah nak dapat RM20 sehari pun susah, tapi jual durian boleh dapat lebih RM100 sehari.