Sarawak bakal hilang RM5 juta kerana batal kejohanan renang, kata pengusaha hotel

Sarawak bakal hilang RM5 juta kerana batal kejohanan renang, kata pengusaha hotel

IPC membatalkan hak Malaysia menganjurkan kejohanan yang sepatutnya berlangsung di Kuching.

Hotel di Kuching tidak dapat mengisi kekosongan dalam tempoh pendek akibat pembatalan Kejohanan Renang Para Dunia, dijadualkan Julai depan.
PETALING JAYA:
Sarawak dijangka kehilangan kira-kira RM5 juta selepas hak pengajuran kejohanan renang antabangsanya dibatalkan berikutan keputusan Putrajaya mengharamkan penyertaan atlet dari Israel.

Menurut akhbar Sin Chew, Persatuan Pengusaha Hotel Cawangan Sarawak berkata, industri perhotelan akan menanggung sebahagian besar kerugian itu kerana lebih 600 peserta dijangka menyertai Kejohanan Renang Para Dunia 2019, yang dijadualkan Julai depan.

“Perenang dan jurulatih mereka akan tinggal di sini hingga 2 minggu, walaupun kejohanan itu berlangsung selama seminggu.

“Hotel tidak akan dapat mengisi kekosongan itu dalam tempoh yang pendek selepas pembatalan kejohanan,” kata setiausaha kehormatnya, John Teo seperti dipetik oleh akhbar berbahasa Cina itu.

Bulan lepas Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) membatalkan hak Malaysia menganjurkan kejohanan itu yang sepatutnya berlangsung di Kuching.

Ini susulan rayuan Israel untuk mengubah venue kejohanan sekiranya Malaysia enggan menarik balik larangan masuk terhadap atletnya.

Putrajaya mempertahankan keputusannya itu, yang mencetuskan dakwaan anti-Semitisme daripada pelobi Israel di negara Barat.

Selain industri perhotelan, kata Teo, turut terjejas, termasuklah agensi pelancongan, restoran, syarikat penerbangan dan pusat membeli-belah.

Beliau mendakwa, sesetengah agensi pelancongan membeli kenderaan baru bagi menampung kemasukan ramai pelawat.

Pembatalan kejohanan itu juga dijangka memberi kesan ke atas jumlah pelawat ke Sibu, Miri dan Taman Negara Mulu.

Akhbar Sin Chew juga memetik Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah yang berkata, mereka (kerajaan negeri) tidak dapat berbuat apa-apa “melainkan kerajaan pusat mengubah pendiriannya”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.