Presiden Patriot lebih layak jadi ahli lembaga Yadim, balas Pemuda Umno

Presiden Patriot lebih layak jadi ahli lembaga Yadim, balas Pemuda Umno

Pengarah Strategik, Agyl Wan Hassan berkata Umno hanya menyatakan pendirian berdasarkan janji PH iaitu tiada lantikan politik dalam agensi kerajaan.

PETALING JAYA: Pemuda Umno hari ini menangkis kritikan Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) mengenai isu lantikan politik ke lembaga pemegang amanah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), mengatakan presiden Patriot lebih layak berbanding wakil rakyat DAP, Sheikh Omar Ali sekiranya kerajaan berpegang kepada manifesto pilihan raya umum lepas.

Pengarah Strategik, Wan Agyl Wan Hassan berkata Datuk Mohamed Arshad Raji lebih layak kerana Pakatan Harapan berjanji tiada lantikan politik dalam agensi kerajaan.

“Sekurang-kurangnya presiden Patriot bukanlah ahli politik, malah tidak bersekongkol dengan DAP yang sentiasa memasang agenda untuk menjadikan Malaysia sebagai negara sekular,” katanya dalam kenyataan.

Patriot sebelum ini menepis kritikan ketua Pemuda Umno mengenai pelantikan Sheikh Omar, mengatakan Adun Paloh memiliki ijazah sarjana muda daripada Universiti Malaya dalam pengajian Islam dengan pengkhususan dakwah.

Wan Agyl kesal Patriot menganggap teguran Ketua Pemuda Datuk Asyraf Wajdi Dusuki sebagai jahil dan bersifat perkauman.

Melihat kepada lantikan-lantikan dalam Yadim sekarang, beliau menggesa Pakatan Harapan menyatakan pendiriannya mengenai janji tiada lantikan politik dalam agensi kerajaan.

“Mungkin kerana setelah menang, terlalu ramai kepimpinan di dalam pakatan harapan yang tidak mampu menahan godaan kuasa dan kedudukan,” katanya.

Beliau juga menggesa DAP mengisytiharkan pendirian berkaitan Islam.

Ditubuhkan pada 1974, Yadim memangkin penyebaran dakwah dan menyelaras kegiatan badan-badan dakwah agar seiring dengan dasar negara.

Ia kini dipimpin oleh Nik Omar Nik Abdul Aziz, anak kepada bekas mursyidul am PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Ini bagi menjelaskan kedudukan wakil DAP dalam Yadim,” katanya.

Wan Agyl berharap Patriot boleh membuat pengisytiharaan tentang agenda sekularisme dan lantikan politik.

“Jika (ahli politik) berkenan sangat dengan jawatan ahli lembaga Yadim, mungkin mereka boleh meletak jawatan di dalam parti sejajar dengan janji manifesto yang dicanangkan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.