Najib: Setuju kesan dolar AS, tapi PH patut akui ringgit lemah bawah Guan Eng

Najib: Setuju kesan dolar AS, tapi PH patut akui ringgit lemah bawah Guan Eng

Bekas perdana menteri berkata ringgit menurun berbanding baht sehingga tahap paling rendah "dalam sejarah".

PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Razak bersetuju dengan Putrajaya bahawa ringgit terkesan dengan turun naik dolar AS, tetapi matawang negara jelas bertukar hala dan menurun berbanding baht dan semua matawang lain selepas pilihan raya umum ke-14.

Bekas perdana menteri berkata ringgit, baht dan matawang lain juga terkesan dengan turun naik dolar AS, tetapi isu yang perlu diperhatikan ialah ringgit menurun berbanding baht sehingga tahap paling rendah “dalam sejarah”.

“Takkan hanya ringgit menerima kesan dari dolar AS tetapi baht tidak?” kata Najib di Facebook.

“Pakatan Harapan patut mengaku ringgit sudah lemah bawah menteri kewangan mereka,” katanya merujuk kepada Lim Guan Eng.

Semalam, Putrajaya berkata kemerosotan nilai ringgit berbanding baht, iaitu merosot kepada RM13 bagi setiap 100 baht, adalah kerana kenaikan matawang dolar AS, bukan kerana prestasi buruk pentadbiran kerajaan.

Perdana menteri berkata ringgit sebenarnya sudah kukuh dan perbandingan matawang bukan ukuran tepat dalam menentukan prestasi ekonomi negara.

“Ada lain-lain ukuran yang perlu diambil kira,” kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Najib bersetuju dengan kenyataan perdana menteri, mengatakan itulah alasan yang diberikan kerajaan sebelum ini bagi menjelaskan penurunan nilai ringgit ketika itu.

“Dolar naik, ringgit turun. Ringgit naik, dolar turun. Ini bukan susah nak faham,” kata bekas perdana menteri.

“Tetapi pada 2015 itu juga, PH mengeluarkan kata-kata emas ‘Najib turun, ringgit naik’. Masa itu Pakatan Harapan kata salah Najib, bukan salah Presiden Barack Obama pula,” katanya.

Najib menambah sebelum PRU-14, ringgit memulih bukan sahaja berbanding dolar AS tetapi dengan semua matawang lain termasuk dolar Singapura dan baht.

“Selepas PRU-14, jelas kelihatan ringgit bertukar hala dan menurun berbanding semua matawang lain,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.