Putrajaya mahu WHO tarik balik artikel memburukkan industri sawit

Putrajaya mahu WHO tarik balik artikel memburukkan industri sawit

Teresa Kok berkata kerosakan sudah berlaku apabila Reuters melaporkan dakwaan kajian itu dan memberi gambaran ia pandangan WHO.

PETALING JAYA: Putrajaya hari ini membidas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kerana menerbitkan satu artikel di buletinnya di mana industri sawit disamaan seperti pelobi tembakau dan alkohol dan menuntut ia ditarik balik.

Menteri Industri Utama Teresa Kok, ditemani beberapa wakil industri minyak sawit, membantah artikel itu dalam mesyuaratnya bersama wakil WHO ke Malaysia, Brunei dan Singapura, Dr Lo Wing Ru.

Dalam kenyataan hari ini, Teresa berkata mereka berpandangan artikel “Industri Minyak Sawit dan Penyakit Tidak Berjangkit” itu separuh benar, tidak layak bagi sarjana, cacat dan berat sebelah terhadap minyak sawit, dan disyaki berniat untuk memburukkan industri minyak sawit.

Teresa berkata Putrajaya tersinggung dengan kesimpulan tersebut yang memfitnah reputasi saintis dan penyelidik Malaysia dan tidak mengendahkan penemuan mengenai nilai nutrisi minyak sawit yang diterbitkan dalam beberapa jurnal sains.

Beliau menuntut WHO menarik balik rencana itu yang dakwaannya dilapor oleh agensi berita antarabangsa, Reuters.

“Kami berpandangan ia harus ditarik balik kerana dakwaan yang berat sebelah dan cacat. Kami persoalkan mengapa WHO, sebuah badan kesihatan awam yang bereputasi baik, menerbitkan artikel itu,” katanya.

Beliau menambah WHO Malaysia menyesali laporan itu dilaporkan oleh Reuters, memberi gambaran ia mencerminkan pandangan WHO.

Artikel di buletin itu disiarkan dengan penerangan menyatakan ia tidak boleh digambarkan sebagai kajian WHO.

“Bagaimanapun, kerosakan sudah berlaku kerana tafsiran salah Reuters mendapat sambutan dan masih disiarkan di laman-laman lain,” kata Teresa.

Antara yang menghadiri mesyuarat hari ini adalah wakil Majlis Minyak Sawit Malaysia, Persatuan Ahli Sains dan Teknologi Minyak Malaysia dan Persatuan Pemilik Ladang Malaysia.

Pertemuan ini berlangsung ketika Kesatuan Eropah mencadangkan larangan menggunakan bahan api bio berasaskan sawit dalam wilayahnya.

EU mendakwa Malaysia mengerjakan minyak sawit dengan merosakkan alam sekitar, memberi kesan pada perubahan iklam dan biodiversiti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.