
Timbalan perdana menteri sedia maklum mengenai kajian terbaru Ilham Centre bersama Penang Institute mengenai sokongan Melayu terhadap PH dan menganggapnya sebagai perkara yang tidak boleh dipandang ringan.
“Saya baca kajian tersebut dan PH perlu mengambil maklum terhadap perkara ini, kita mesti dengar rintihan dan pendapat rakyat supaya boleh mengambil langkah yang wajar.
“Memang majoriti rakyat Malaysia adalah orang Melayu tetapi kita tidak betul-betul tahu bilangan sebenar sokongan Melayu terhadap PH ketika menjadi pembangkang, jadi perkara ini perlu diteliti dengan menyeluruh,” katanya.
PH kini bertindak sebagai parti pemerintah seolah-olah berada dalam dilema ketika ini.
“Sebagai kerajaan baru, PH perlu seimbang dalam melaksanakan inisiatif yang disukai rakyat dengan apa yang terbaik untuk rakyat termasuk dari segi ekonomi dan kestabilan negara.
“Tetapi soal kebimbangan dalam kalangan orang Melayu kita ambil serius,” kata Wan Azizah.
Kajian Ilham Centre dan Penang Institute melibatkan 2,614 responden dijalankan pada 24 Oktober hingga 24 Disember 2018 lalu menunjukkan pandangan sebenar rakyat terhadap kerajaan PH ketika ini.
Antaranya, kajian menunjukkan hampir 60% Melayu masih tidak berpuas hati dengan prestasi kerajaan PH.
54.4% responden Melayu tidak percaya kerajaan serius melaksanakan agenda Melayu termasuk mempertahankan hak Melayu serta Islam sebagai agama rasmi negara.
60% responden pula percaya orang bukan Islam sedang menguasai kerajaan dan DAP yang membuat keputusan di Putrajaya.
59.5% responden tidak bersetuju mereka berpuas hati dengan prestasi kerajaan PH sejak PRU-14 berbanding 40.8% yang bersetuju.
54.4% bersetuju kerajaan PH mengabaikan hak orang Melayu dan kepentingan Islam, berbanding 45.1% yang berpendirian sebaliknya.
50.1% berpendapat PH tidak serius memenuhi janji pilihan raya dalam manifesto mereka berbanding 49.8% percaya sebaliknya.
58.3% yakin kerajaan pusat tidak serius menangani isu kos sara hidup.
62% percaya DAP mendominasi kerajaan berbanding parti lain dalam PH dan 58.9% percaya kerajaan pusat kini membawa agenda liberal.