P Pinang haramkan pembina Bukit Kukus daripada projek MBPP

P Pinang haramkan pembina Bukit Kukus daripada projek MBPP

Kerajaan akan dedah hasil siasatan selepas Tahun Baru Cina

GEORGE TOWN: Tiga pihak terlibat dengan projek jalan bertingkat di Bukit Kukus diharamkan daripada melaksanakan sebarang projek bawah Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), berikutan keputusan exco negeri hari ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, arahan diberi kepada MBPP, pemilik jalan pintas sepanjang 5km bernilai RM530 juta itu di Air Itam, yang dijangka siap 2020. Ia dihentikan berikutan kejadian tanah runtuh Oktober lalu.

“Exco memutuskan majlis tersebut tidak boleh tawarkan apa-apa projek baru kepada syarikat-syarikat tersebut.

“Tiga pihak terlibat juga tidak akan dipertimbangkan untuk sebarang kerja-kerja baru,” katanya pada sidang media di Komtar.

Beliau tidak menamakan 3 pihak itu tetapi menyebut mereka adalah kontraktor utama, jurutera dan perunding projek.

Bagaimanapun, katanya, kontraktor projek akan terus menyiapkan kerja mereka bawah penyeliaan ketat jurutera dan majlis.

Buat masa ini, katanya, kerja mengukuhkan tapak sedang dilakukan, dan kerja rasmi ke atas jalan itu akan bersambung selepas Tahun Baru Cina.

Perintah henti kerja daripada MBPP dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan dibatalkan pada 28 Januari, kira-kira 3 bulan selepas kejadian tanah runtuh yang meragut 9 nyawa pada 19 Oktober lepas.

Tiga lagi pekerja tercedera dalam kejadian itu.

Chow berkata, hasil siasatan sulit akan didedahkan kepada umum selepas Tahun Baru Cina.

Katanya, punca tanah runtuh itu mungkin dari tapak kerja sementara yang tidak baik kerana penemuan mendapati tiada reka bentuk yang betul di tapak itu.

Menjawab dakwaan Persatuan Pengguna Pulau Pnang (CAP) bahawa projek jalan itu tidak ada penilaian impak alam sekitar (EIA), Chow berkata, Jabatan Alam Sekitar mengecualikan keperluan EIA memandangkan jalan Bukit Kukus bawah jalan kategori U3.

Pada sidang media sama, Datuk Bandar Yew Tung Seang berkata, kontraktor utama projek itu telah membayar ganti rugi kepada mangsa mengikut Akta Ganti Rugi Pekerja.

Katanya, MBPP juga telah bekerjasama dengan AirAsia untuk menghantar 9 mayat mangsa ke negara masing-masing, iaitu Bangladesh, Indonesia dan Myanmar.

Ditanya bagaimana bayaran dibuat sedangkan kontraktor mendakwa mangsa bukan pekerja-pekerja mereka, Yew berkata, siasatan polis mengenai perkara tersebut sedang berjalan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.