
Pengerusi Jawatankuasa Hal ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri itu berkata, 4 punca itu melibatkan kemiskinan, masalah disiplin, penceraian dan bekerja sambilan.
“Kita telah kenal pasti punca utama pelajar tercicir sekolah, iaitu masalah kewangan, masalah disiplin, penceraian ibu bapa dan kerja sambilan,” katanya kepada FMT.
Aminolhuda berkata, 3 daripada 4 faktor itu mudah diselesaikan oleh pihak Jabatan Pendidikan, termasuk sekolah, melainkan kes yang melibatkan penceraian lebih sukar diatasi.
“Kalau kes melibatkan kemiskinan, masalah disiplin, kerja sambilan senang diselesaikan. Kita boleh gunakan khidmat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat, Majlis Agama boleh juga menyelesaikan masalah kewangan, selain memberi kaunseling kepada pelajar bermasalah.
“Cuma perkara paling menyukarkan kami, termasuk Jabatan Pendidikan dan sekolah ialah kes yang melibatkan penceraian ibu bapa. Susah untuk kami mengadakan rundingan,” katanya, yang juga memberitahu majoriti kes pelajar tidak kesekolah melibatkan masalah kewangan.
Katanya, kebanyakan mereka yang terlibat merupakan pelajar peringkat sekolah menengah.
“Sejak kami mengambil tindakan, responsnya positif dan ada yang menyuarakan hasrat untuk kembali ke sekolah.
“Bila kita pergi ke rumah mendengar masalah yang dihadapi, ibu bapa dan pelajar merasakan mereka lebih dihargai. Ini dapat mempengaruhi anak mereka untuk terus belajar,”katanya.
Sebelum ini media melaporkan seramai 1,300 murid di Johor dikesan tidak menyambung sesi persekolahan sejak 1 Januari lepas.