
“Satu jutawan Melayu, 100,000 Cina kaya. Itu hakikatnya,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas kenyatan Naib Ketua Pemuda Umno, Shahril Hamdan, yang mengatakan golongan Melayu kaya tidak patut terima bantuan kerajaan.
Shahril menggesa bantuan disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
Tajuddin berkata tindakan afirmatif untuk Bumiputera termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Mengenai diskaun perumahan untuk Bumiputera, Ahli Parlimen Pasir Salak berkata pengurangan 7%-10% itu patut diteruskan tanpa mengira golongan pendapatan kerana masyarakat itu umumnya masih berpendapatan kurang daripada orang Cina.
Beliau berkata jika diskaun perumahan tidak diberi kepada golongan Melayu kaya, ia akan mengganggu integrasi nasional kerana hanya orang Cina boleh membeli rumah RM1 juta ke atas.
Politik Malaysia sebagai negara pelbagai kaum harus mengalakkan kaum-kaum yang berlainan hidup bersama.
“Kita tidak sepatutnya ada orang Cina yang tinggal di satu tempat sementara orang Melayu tinggal di tempat lain,” katanya.
Beliau bagaimanapun berkata Bumiputera tidak patut menyalahgunakan hak yang diperuntukkan Perlembagaan itu.
Mengenai kenyataan Shahril bahawa bantuan untuk Bumiputera disalurkan berasaskan keperluan, beliau berkata memang begitu pendekatannya sebelum kerajaan bertukar.
“Tindakan afirmatif kerajaan Barisan Nasional untuk nelayan, petani, ibu-ibu tunggal dan usahawan kecil-kecilan, jadi apa masalahya?
“Ia sentiasa menggunakan pendekatan berasaskan keperluan. Orang kaya tidak diberi keutamaan.”
Beliau menafikkan orang Melayu kaya mengambil kesempatan daripada biasiswa yang disediakan bawah rancangan tindakan afirmatif, mengatakan keluarga-keluarga kaya membelanjakan wang sendiri untuk menghantar anak-anak ke luar negara.
Beliau juga menggesa orang Cina untuk tidak menuduh orang Melayu mengambil kesempatan daripada tindakan afirmatif itu, mengingatkan mereka, “kami pun pembayar cukai”.
Beliau bagaimanapun menasihatkan orang Melayu mencontohi orang Cina membantu golongan miskin.
“Orang Cina kaya bantu orang Cina miskin. Orang Melayu kaya yang tidak ramai itu juga patut bantu orang Melayu miskin.”
Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan oleh Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussein selepas rusuhan kaum 13 Mei 1969. Matlamatnya adalah meningkatkan bahagian kekayaan orang Melayu dan Bumiputera kepada sekurang-kurangnya 30%.
Kaum Bumiputera mewakili kira-kira 64% daripada penduduk.