
Kenyataan bercanggah yang dibuat minggu lepas mengenai status projek Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL) itu membayangkan cabaran politik dan diplomatik yang dihadapi kerajaan Perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam perundingan semula kontrak berkenaan.
“Jika ia hanya soal kos, China menawarkan pengurangan kos yang besar, hampir separuh,” kata satu sumber yang tahu tentang rundingan tersebut.
Pihak kontraktor, iaitu China Communications Construction Co Ltd (CCCC) menawarkan untuk mengurangkan kos pembinaan sebanyak RM67 bilion (AS$16.39 bilion) bagi projek sepanjang 688km itu, iaitu hampir separuh, kata sumber.
Perbelanjaan ke atas faedah dan pengambilan tanah merupakan baki daripada jumlah kos terbabit.
Walaupun ditawarkan diskaun itu, kerajaan Dr Mahathir memutuskan untuk membatalkan kontrak tersebut bulan ini, kata sumber, yang enggan dikenali berikutan sensitiviti perkara tersebut.
Selepas berjaya menguasai kerajaan Mei tahun lepas, Dr Mahathir, yang kerap mengkritik pelaburan China di Malaysia, berjanji untuk merundingkan semula atau membatalkan projek dengan China yang diluluskan oleh bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, yang disifatkannya sebagai “tidak adil”.
Projek ECRL ditangguhkan oleh pentadbiran baru Putrajaya pada Julai lepas.
Bagaimana semalam, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, Malaysia masih berunding dengan China.
Kenyataan itu muncul beberapa hari selepas Menteri Hal-ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Kabinet telah memutuskan untuk membatalkan kontrak tersebut dan sehari selepas Dr Mahathir meminta persefahaman China berhubung rancangan pembatalan itu.
Rundingan diadakan susulan penangguhan pada Julai lepas, dengan Malaysia mengisyaratkan bahawa ia kini mengkaji cadangan lebih murah bagi projek Belt and Road China yang paling besar di Asia tenggara.
Sumber juga berkata, rundingan tersebut disukarkan lagi oleh penglibatan terlalu ramai pegawai Malaysia.
Selain Kementerian Kewangan, CCCC dan rakan kongsi domestiknya di Malaysia, iaitu Malaysia Rail Line (MRL) juga dikehendaki mengemukakan cadangan mereka kepada antara lain, penasihat lama Dr Mahathir, Tun Daim Zainuddin.
“Setiap mereka mempunyai agenda masing-masing dan melihat projek itu dari perspektif berbeza…ia keadaan yang luar biasa, ” kata salah seorang sumber.
Daim mengetuai majlis penasihat kerajaan yang kini telah dibubarkan selepas ia ditubuhkan sebaik sahaja Dr Mahathir berjaya merampas Putrajaya. Pejabat beliau enggan memberi apa-apa komen berhubung isu ini.
Kementerian Kewangan merujukkan apa-apa pertanyaan kepada Pejabat Perdana Menteri, yang tidak menjawab segera pertanyaan. Sementara itu, MRL dan CCCC enggan memberi apa-apa komen.
Di Beijing, jurucakap Kementerian Luar, Geng Shuang berkata, beliau melihat laporan mengenai pembatalan itu minggu ini tetapi tidak maklum tentang perinciannnya.
“Sejauh yang saya tahu, projek itu dipersetujui oleh syarikat dari kedua-dua belah pihak menurut prinsip pasaran berdasarkan kesaksamaan, manfaat bersaling dan persetujuan bersama,” katanya.
“China dan Malaysia telah berkomunikasi mengenai perkara berkaitan.”
Beliau tidak memberi penjelasan lanjut.
Semalam, Kabinet memaklumkan ia tidak akan membuat apa-apa kenyataan berkaitan projek berkenaan, kecuali daripada Dr Mahathir sendiri.
Hubungan dengan China merosot selepas Dr Mahathir mengetuai beberapa parti yang berbeza pandangan mengalahkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang memerintah Malaysia selama lebih 60 tahun.
“Tidak mudah bagi gabungan parti yang pelbagai dan tanpa banyak pengalaman di peringkat kerajaan pusat,” kata Adib Zulkifli, pengarah syarikat juruperunding dasar awam Bower Group Asia, cawangan Malaysia.
“Setiap parti mungkin mempunyai idea berlainan tentang dasar luar negara dalam ‘Malaysia Baru’.”
Projek keretapi itu dilancarkan pada 2017 dalam usaha menggalakkan pelaburan dari China semasa pentadbiran Najib, yang pemerintahan hampir sedekadnya berakhir dengan kekalahan pilihan raya berikutan skandal kewangan besar-besaran yang berlaku.
Tercabar dengan kos yang melonjak tinggi, kurangnya ketelusan dan risiko beban hutang yang besar, projek berkenaan muncul sebagai simbol pentadbiran Najib yang dibebani skandal.
Pada masa itu, pihak pembangkang, termasuk Dr Mahathir, menuduh Najib “menjual” kedaulatan Malaysia kepada China.