Tak salah majikan tak carum untuk operator kren, kata MEF

Tak salah majikan tak carum untuk operator kren, kata MEF

Pengarah Eksekutif Shamsuddin Bardan berkata kebiasaannya operator kren digaji sebagai kontraktor bebas dan tidak terikat dengan syarikat.

Lebih 10,000 operator kren di seluruh negara tidak dilindungi apa-apa manfaat jika ditimpa kemalangan di tempat kerja. (Gambar Facebok)
PETALING JAYA:
Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) memaklumkan syarikat tidak bertanggungjawab membuat caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) atau Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada operator kren yang dikategorikan sebagai kontraktor bebas.

Pengarah Eksekutif MEF, Datuk Shamsuddin Bardan berkata kebiasaannya operator kren diambil sebagai kontraktor bebas di mana mereka tidak terikat dengan syarikat dan bebas menawarkan khidmat kepada mana-mana syarikat yang memerlukan.

“Pada kebiasaannya operator kren akan bertukar dari satu tempat projek ke projek lain dengan agak cepat dan bukan bekerja untuk projek atau syarikat itu sahaja.

Shamsuddin Bardan

“Itu amalan di sektor pembinaan dan ini bermakna mereka tidak diambil atau digajikan oleh mana-mana majikan tetapi bekerja untuk diri sahaja dan menjadi kontraktor bebas,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas laporan akhbar tentang lebih 10,000 operator kren di seluruh negara tidak dilindungi apa-apa manfaat jika ditimpa kemalangan di tempat kerja kerana majikan tidak membuat caruman Perkeso dan KWSP untuk mereka.

Menurut laporan itu, rata-rata operator kren diserap sebagai sub-kontraktor di tapak pembinaan dan menyebabkan kontraktor utama lepas tangan daripada mencarum untuk mereka.

Shamsuddin berkata mungkin wujud salah faham dalam kalangan operator kren tentang konsep “kontraktor bebas”.

Beliau menjelaskan syarikat pembinaan tidak melakukan kesalahan jika tidak membuat caruman untuk orang-orang yang bukan pekerjanya.

“Kebanyakan operator kren tidak dibayar gaji tapi akan dibayar mengikut kerja yang dibuat. Kalau katakan 1 hari dia setuju untuk dibayar RM300, syarikat akan bayar jumlah tersebut terus kepada kren operator. Itu amalan di sektor berkenaan.

Justeru katanya, mana-mana kontraktor bebas boleh mengambil insurans atau membuat caruman Perkeso secara sukarela bagi memastikan mereka dilindungi jika berlaku sebarang kemalangan.

“Majikan tidak akan mencarum Perkeso dan KWSP kepada mereka dan itu bukan sesuatu yang salah, kerana tidak wujud ikatan majikan dan pekerja dalam hubungan berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) pula berkata tidak ada mana-mana pekerja tempatan terkecuali dalam perlindungan Perkeso dan KWSP.

Abdul Halim Mansor

Presiden MTUC, Datuk Abdul Halim Mansor berkata semua pekerja tempatan, termasuk yang bukan berstatus tetap, perlu dicarum mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerja dan Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

“Majikan bertanggungjawab untuk melindungi pekerja mereka dalam apa juga sektor sama ada mereka sebagai pekerja kontrak, pekerja tetap atau pekerja yang mendapat gaji harian,” katanya.

“Mereka mesti dilindungi kerana ia membabitkan keseluruhan pekerja-pekerja lain yang berada di tempat kerja yang sama.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.