Bekas pemandu diarah pulangkan RM200,000 kepada pelakon

Bekas pemandu diarah pulangkan RM200,000 kepada pelakon

Mahkamah Persekutuan mengarahkan Noor Azman Azemi memulangkan RM200,000 yang dicuri daripada Zahida Rafik, 7 tahun lalu.

Pelakon Zahida Rafik meninggalkan mahkamah ditemani keluarga dan peguamnya ketika sesi pendengaran kes pada 2015. (Gambar Bernama
PUTRAJAYA:
Mahkamah Persekutuan hari ini mengarahkan bekas pemandu pelakon Zahida Rafik memulangkan RM200,000 yang dicuri daripada wanita itu, 7 tahun lalu.

Dalam menyampaikan keputusan sebulat suara, hakim Tan Sri Azahar Mohamed berkata Zahida membuktikan tuntutan balasnya terhadap Noor Azman Azemi.

Azahar berkata Noor Azman, dalam rayuannya, mengadu berlaku kesilapan mahkamah apabila Mahkamah Rayuan memintanya membuktikan asas tuduhannya terhadap Zahida.

“Kami melalui penghakiman mahkamah rendah dan rekod rayuan bagi perbicaraan, dan kami tidak menemui sebarang kesilapan mahkamah,” katanya ketika menolak rayuan Noor Azman terhadap perintah supaya membayar wang itu kepada Zahida.

Bagaimanapun, mahkamah juga memutuskan Zahida gagal mewajarkan tindakannya untuk mendedahkan laporan polisnya terhadap Azman kepada media.

“Dalam keterangannya, dia tidak menjelaskan mengapa perlu mendedahkan kandungan laporan itu di sidang medianya. Pembelaan keistimewaan mutlak (absolute privilege) tidak boleh diberikan kepadanya,” kata Azahar.

Panel hakim tidak membuat arahan untuk kos selepas peguam Noor Azman, Datuk Seri Gopal Sri Ram, memberitahu mahkamah anak guamnya tidak mempunyai ekonomi yang kukuh untuk membayar jumlah yang tinggi.

Zahida tidak hadir di mahkamah hari ini, sementara Noor Azman meninggalkan mahkamah sejurus keputusan diumumkan.

Bercakap kepada pemberita di luar mahkamah, peguam Zahida, Muhammad Shafee Abdullah berkata Zahida mewajarkan keputusan itu.

“Ia mengesahkan hakikat bahawa wangnya dicuri oleh pemandu, dan dia wajar dalam membuat tuntutan itu.”

Beliau menambah Noor Azman kini terpaksa mengembalikan RM200,000 dengan faedah 4% dari 2013, apabila Zahida memfailkan tuntutan balas itu.

Pada 2015, Mahkamah Tinggi mengarahkan Zahida membayar RM150,000 kerana memfitnah Noor Azman serta kos RM40,000.

Bagaimanapun, beliau memenangi rayuannya terhadap keputusan itu pada 2017, apabila Mahkamah Rayuan membenarkan tuntutan balasnya yang memaksa Noor Azman memulangkan RM200,000 tersebut.

Noor Azman memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan pada 2017.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.