
Dalam kenyataannya di sini, Rusdin berkata laporan “Sabah Leader Now Says State Added Over RM4 Billion to Reserves” yang disiarkan semalam ditulis berdasarkan imaginasi wartawan terbabit.
“Apa yang saya katakan ialah ‘Jika kita lihat pada laporan kewangan, okay, laporan kewangan bagi 2017 hampir RM4 bilion dan insya-Allah, kita telah selesai menyediakan laporan kewangan 2018 dan ada sedikit pertambahan.
“…tetapi saya tidak boleh nyatakan kerana ia belum diaudit, justeru kita tidak boleh dedahkan angkanya namun memang akan ada peningkatan’.”
Beliau berkata tidak benar rizab negeri berkembang lebih RM4 bilion tahun lepas.
Tegasnya Laporan Kewangan Negeri 2018 menunjukkan ada sedikit peningkatan berbanding tahun sebelumnya namun jumlahnya tidak akan diumumkan sehingga laporan diaudit.
Menurut beliau kenaikan itu bagaimanapun tidak termasuk hutang yang dijadualkan perlu dibayar pada 2019.