
Pengerusi Wan Saiful Wan Jan berkata ia merupakan jumlah penabungan tertinggi yang pernah dicapai PTPTN sejak SSPN diwujudkan lebih 10 tahun lalu.
SSPN adalah skim simpanan patuh syariah yang direka khas oleh PTPTN bagi tujuan pendidikan. Menerusi skim ini, pendeposit melantik PTPTN untuk menguruskan deposit mereka bagi tujuan pelaburan.
“Bilangan akaun baru yang dibuka sebanyak 678,829. Ini juga merupakan pencapaian tertinggi dalam sejarah PTPTN.
“Kedua-dua pencapaian ini menunjukkan berlakunya peningkatan ketara berbanding 2017 iaitu peningkatan sebanyak 55.61% untuk deposit dan 51.85% untuk akaun baru,” katanya semasa mengumumkan pengagihan dividen SSPN sebanyak 4% bagi 2018 di ibu pejabatnya hari ini.
Wan Saiful berkata kadar 4% itu melibatkan anggaran peruntukan RM114.55 juta yang bakal memberi manfaat kepada lebih 3.91 juta pendeposit.
Wan Saiful berkata PTPTN dapat mengekalkan kadar dividen SSPN yang kompetitif meskipun menerima “pelbagai tekanan” daripada “pihak luar”.
“Diharap ia menjadikan SSPN lebih berdaya saing dan menjadi instrumen simpanan pilihan dan keutamaan dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya.
Ditanya sama ada PTPTN akan mengekalkan diskaun 20% kepada peminjam yang membayar penuh pinjaman mereka, Wan Saiful berkata ia akan ditentukan selepas “beberapa siri” perbincangan bersama “banyak pihak”.
“Kita sedang buat proses rundingan dari bulan 12 lagi dan ini akan diteruskan sehingga April. Semua dapatan kita akan rangkumkan untuk jadi satu strategi.
“Insentif pun kita ambil kira dan ada tuntutan yang mereka suarakan,” katanya.
Sebelum ini, Persatuan Mahasiswa Nasional mendesak PTPTN mengembalikan diskaun untuk peminjam yang melunaskan pinjaman.
Timbalan Presiden Haziq Shafe’ee merujuk kepada diskaun 10% bagi bayaran balik yang dibuat menerusi potongan gaji atau debit langsung mengikut jadual, dan diskaun 20% bagi pembayaran penuh.
“Kami kecewa apabila inisiatif yang dipergiatkan selama ini dihentikan tanpa sebab kukuh,” katanya.
Kerajaan lepas dalam Bajet 2018 mengumumkan pelaksanaan diskaun-diskau itu dilanjutkan sehingga 31 Disember 2018.