Kementerian tubuh SPV bantu syarikat perabot Bumi

Kementerian tubuh SPV bantu syarikat perabot Bumi

Syarikat tujuan khas itu akan membantu syarikat Bumiputera mendapatkan kontrak pembekalan produk perkayuan daripada syarikat besar dan antarabangsa.

SERDANG:
Kementerian Industri Utama meluluskan penubuhan syarikat tujuan khas (SPV) bagi program pembekal yang dipercayai dan kayu-kayan diperakui (CTCS) bawah Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB).

Menteri Teresa Kok Suh Sim berkata penubuhan SPV itu bertujuan membantu syarikat Bumiputera untuk mendapat kontrak pembekalan produk perkayuan daripada syarikat besar dan antarabangsa dalam sektor pembinaan.

“Ini secara langsung akan menggalakkan penggunaan kayu,” katanya ketika berucap di majlis pelancaran buku berjudul “Kejayaan yang Tertunda: Mengupas Prestasi Usahawan Bumiputera Dalam Sektor Perabot” di Fakulti Perhutanan, Universiti Putra Malaysia hari ini.

Beliau berkata kerajaan juga menetapkan beberapa petunjuk prestasi utama untuk tujuan pemantauan.

“Ini akan dapat melahirkan jaguh usahawan bumiputera nasional dalam industri perabot,” katanya.

Kok menggesa usahawan Bumiputera supaya lebih kreatif, berinovasi dan cekal dalam menghadapi cabaran industri perkayuan.

“Pembangunan sektor perkayuan penting dari segi sumbangan kepada pendapatan negara dan peluang pekerjaan yang disediakan.

“Bagaimanapun, sumbangan usahawan Bumiputera kepada nilai eksport dalam sektor perabot adalah rendah iaitu RM6.63 juta sahaja, atau kurang daripada 1% daripada keseluruhan nilai eksport,” katanya.

Pada 2018, nilai eksport sektor perkayuan adalah RM20.4 bilion berbanding RM23.2 bilion pada tahun sebelumnya, manakala sumbangan eksport perabot susut kepada RM7.07 bilion daripada RM8.08 bilion pada 2017.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.