Kalau warga Indonesia boleh, mengapa kita tidak, kata peniaga buah

Kalau warga Indonesia boleh, mengapa kita tidak, kata peniaga buah

Seorang graduan universiti terinspirasi berniaga setelah melihat kehidupan warga asing di negera ini lebih baik berbanding rakyat Malaysia yang mendapat pelbagai bantuan kerajaan.

Azman Azizan memulakan rutin hariannya pada jam 3.30 pagi dan berakhir pada jam 8.30 malam.
AMPANG:
Kegigihan rakyat Indonesia datang ke Malaysia untuk berniaga tanpa sokongan dan bantuan kerajaan menyebabkan 2 graduan universiti tempatan memilih haluan yang sama untuk mengubah kehidupan mereka.

Peniaga buah-buahan tempatan, Azman Azizan berkata, inspirasi berniaga bermula setelah melihat kehidupan warga asing di negara ini lebih baik daripada rakyat Malaysia yang mendapat pelbagai bantuan dari kerajaan.

“Kita tidak sedar orang luar yang datang ke Malaysia boleh cari rezeki, lihatlah masyarakat Minang dari Indonesia, Bangladesh dan lain-lain, macam mana dengan perniagaan, mereka boleh hidup senang, lebih senang dari rakyat Malaysia sendiri.

“Warga asing dari Bangladesh yang datang ke Malaysia juga boleh ‘survive’, mereka siap boleh berikan wang pula untuk menampung kehidupan keluarga di kampung halaman.

“Jadi pada saya, untuk ubah kehidupan adalah berniaga, kerana dalam Islam sendiri ada katakan 9/10 sumber rezeki adalah dari berniaga, jadi buat apa hendak takut,” katanya kepada FMT.

Azman, 26, mengakui menerima RM2,400 daripada keluarganya untuk dijadikan modal perniagaan, namun dalam tempoh 2 tahun beliau berjaya mendapatkan keuntungan sebanyak RM200,000.

Jelasnya, sepanjang berniaga buah-buahan, beliau sendiri tidak mengambil untung untuk kepentingan diri, sebaliknya keuntungan diterima akan disalurkan untuk membeli lebih banyak buah-buahan.

“Pada awalnya, saya menjual buah nanas jenis MD2, memang sangat laku dan dalam tempoh 2 tahun kita dapat RM200,000 tetapi ada masalah lain yang datang, seperti lori, buah tidak boleh disimpan lama, kemudian kita tukar ke buah-buahan lain.

Azman Azizan melayani pelanggan membeli buah-buahan di gerai bergeraknya.

“Terus terang, sampai sekarang ini saya masih makan duit hari, maksudnya duit makan dan minyak sahaja, memandangkan saya masih belum berkahwin, masih belum banyak komitmen lain.

“Untuk saya katakan berniaga tidak ada untung memang tidak benarlah, kadang-kadang kalau ada rezeki dalam waktu 2 hari boleh dapat RM1,000. Namun, duit yang saya dapat itu kena simpan untuk tambah lebih banyak buah,” katanya.

Graduan dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) itu mengakui keputusannya untuk berniaga berbeza dengan rakan-rakan yang memilih mencari pekerjaan dan ia mendapat kritikan dari keluarga dan rakan sekeliling.

“Orang yang paling dekat dengan saya turut kritik, keluarga mana yang hendak lihat anak mereka keluar universiti kemudian berniaga secara ‘pacak’. Namun saya percaya pada rezeki.

“Kalau kita hendakkan kehidupan yang senang pada masa hadapan, sudah tentu dengan berniaga. Memang apa yang berlaku di masa depan ini misteri.

“Saya ambil contoh, ahli perniagaan dari China iaitu Jack Ma sendiri tidak tahu dirinya akan jadi seorang hartawan dan ahli perniagaan berjaya pada ketika ini, sekiranya beliau tidak berusaha bersungguh-sungguh dahulu,” katanya.

Azman turut menceritakan rutinnya setiap hari, iaitu bermula jam 3.30 pagi di Pasar Chow Kit untuk membeli buah atau ke kebun buah di sekitar Negeri Sembilan bagi membeli buah-buahan segar.

Kemudian, rutinnya akan berakhir pada jam 8.30 malam setiap hari, setelah berniaga di sekurang-kurangnya 3 lokasi berlainan setiap hari, bergantung kepada keadaan cuaca.

Muhammad Irfan Syafrudin menasihati graduan muda tidak mengeluh kerana sukar mencari pekerjaan, sebaliknya membuka perniagaan sendiri.

“Memang penatlah tetapi sudah jadi tabiat saya, tidurlah pada jam berapa pun, secara automatik saya akan bangun pada jam 3.30 pagi. Biasanya saya akan pergi ke 3 lokasi berlainan.

“Jika majlis perbandaran datang, maka saya akan bergerak ke lokasi lain, seperti ke Taman Muda, Ampang, atau ke kawasan sekitar Tesco Ampang, dan pada hari minggu saya akan datang ke Bangi atau Serdang,” katanya.

Sementara itu, rakannya, Muhammad Irfan Syafrudin, 30, berkata, graduan universiti seharusnya berani menjalankan perniagaan, kerana perniagaan melibatkan makanan mempunyai permintaan tinggi.

Disebabkan itu, graduan Universiti Teknologi Petronas (UTP) dalam jurusan kejuruteraan elektronik itu menggalakkan graduan universiti untuk tidak mengeluh sekiranya sukar mendapatkan pekerjaan.

“Masa berniaga lebih fleksibel, boleh rancang masa cuti sendiri, tidak terikat dengan apa-apa. Buatlah dengan minat, yang penting kena seronok lagipun sekarang ni bukan mudah untuk mendapatkan pekerjaan.

“Jika bekerja dengan majikan ada cabaran, dalam berniaga juga ada cabaran. Berniaga bukan sekadar mendapatkan duit semata-mata, ia mengajar erti sabar dan cara menghadapi tekanan,” katanya.

Irfan percaya, usaha dan penat lelahnya ketika ini akan membuahkan hasil di masa depan. Bahkan turut memasang impian untuk memiliki kebun buah-buahan.

“Jangan putus asa kerana kebanyakan anak muda sering fikir tentang masa depan mereka tanpa lakukan apa-apa, saya pada hari ini bekerja selama 20 jam sehari tetapi dalam tempoh 5 tahun akan datang mungkin sebaliknya berlaku,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.