
Menteri belia dan sukan berkata negara menghormati keputusan Bart Kizierowski dan akan mempertimbangkan pilihan-pilihan lain.
“Saya pun dah berhubung dengan pihak Majlis Sukan Negara (MSN) dan kita masih ada jurulatih kebangsaan yang akan mengambil alih buat masa ini,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan MSN.
Kizierowski dilapor menolak tawaran “menarik” menjadi jurulatih pasukan renang kebangsaan kerana kenyataan oleh kerajaan yang enggan meluluskan visa bagi atlet Israel.
Sementara itu, Syed Saddiq turut ditanya apakah jurulatih atau pakar sukan luar negara lain “berkira-kira” untuk menerima tawaran berkhidmat di Malaysia.
Menteri berkata Malaysia mengamalkan dasar “sekian lama” terhadap Israel ketika tawaran dibuat dan dasar itu akan diteruskan.
“Isu ini isu kemanusiaan yang dekat dengan hati rakyat dan pendirian ini harus dihormati oleh semua,” katanya.
Hak Malaysia menganjurkan Kejohanan Renang Para Dunia 2019 pada Julai nanti dilucutkan Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) Ahad lalu selepas Putrajaya mempertahankan pendirian melarang atlet Israel memasuki negara.