
Anggota penyelamat mengambil masa kira-kira 5 jam untuk mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit di celahan konkrit di bahagian bumbung kilang tersebut pada jam 9.18 malam.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Azmi Osman berkata, kedudukan mayat mangsa yang tersepit di celah konkrit bangunan 4 tingkat itu, menyebabkan bomba perlu berwaspada sepanjang proses mengeluarkan mayat kerana keadaan gelap serta lokasi runtuhan terletak di tempat tinggi.
Azmi berkata pelbagai kaedah digunakan termasuk menebuk konkrit menggunakan gerudi khas yang menghempap mangsa sebelum mayat pekerja binaan terbabit berjaya dibawa keluar.
“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.
Beliau berkata pihaknya menjalankan pemeriksaan di sekitar bangunan dalam pembinaan itu dan mengesahkan ia adalah selamat untuk meneruskan kerja pembinaan.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norizam Mohd Nudin berkata, seramai 40 anggota bomba terlibat dalam operasi itu iaitu dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Tun Hussien Onn, BBP KLIA, BBP Serdang, BBP Balakong dan BBP Hang Tuah.
Norizam berkata seorang lagi mangsa yang cedera dalam runtuhan berkenaan, juga warga Bangladesh, dibawa ke Hospital Kajang untuk rawatan.
Difahamkan kejadian itu dipercayai berlaku ketika mangsa dikenali sebagai Abdul, 49, bersama rakannya, Iqbal Hussein, 31, sedang mengeluarkan konkrit berkenaan sebelum ia terjatuh dan menghempap mangsa dalam kejadian kira-kira 4.30 petang itu.