Timbalan ketua PPBM Melaka nafi mahu jawatan Redzuan

Timbalan ketua PPBM Melaka nafi mahu jawatan Redzuan

Rafiz Naizamohideen berkata isu dalam PPBM Melaka termasuk dakwaan hilang kepercayaan terhadap Redzuan Yusof akan diselesaikan secara tertutup.

Mohd Rafiq Naizamohideen. (Gambar Bernama)
MELAKA:
Timbalan pengerusi PPBM Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen hari ini menafikan dakwaan beliau mahukan jawatan pengerusi yang kini disandang Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof.

“Oh, tak betul. Terima kasih. Tak apa kita akan selesaikan secara dalaman,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Bantuan Awal Persekolahan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Pay Hwa, Paya Rumput hari ini.

Semalam sebuah portal berita melaporkan Redzuan tertekan apabila ada sumber mendakwa undi tidak percaya dibuat terhadapnya melalui mesyuarat yang diadakan Jumaat lepas.

Portal itu turut melaporkan pihak yang tidak berpuas hati dalam PPBM Melaka sedang mendesak Rafiq menjadi ketua menggantikan Redzuan, yang juga menteri pembangunan usahawan.

Exco perindustrian, perdagangan dan pelaburan Melaka itu berkata pimpinan PPBM Melaka mahu menyelesaikan segala masalah yang timbul secara dalaman.

Beliau berkata segala isu termasuk dakwaan hilang kepercayaan terhadap pengerusi PPBM Melaka akan diselesaikan secara tertutup.

“Isu politik PPBM perlu diselesaikan secara dalaman dan kita tidak akan menggunakan saluran media untuk menyelesaikan masalah,” katanya.

Ditanya mengenai sejauh mana kebenaran laporan portal berita itu, Rafiq hanya menjawab, “Saya tak nak komen. Minta maaf.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.